Syamsul Yusof Syukur Puteri Sarah Beri Kerjasama Perihal Anak… Enggan Ulas Raya Di Mana & Hubungan Dengan Ibu Bapa

“Mengenai menyambut Raya di mana, tak perlu saya beritahu.”

Demikian kata-kata pengarah sensasi, Syamsul Yusof mengenai di manakah dia bakal menyambut Syawal tahun ini.

Berbaki dua minggu menjelang sambutan Hari Raya, Syamsul juga tidak mahu mengulas mengenai isu bersama ibu bapanya, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail.

“Saya enggan komen soal jumpa ibu bapa atau tidak, berbuka ibu bapa atau tidak. Bagi saya hal berkaitan keluarga tak perlu kongsi,” ujarnya.

Mengulas mengenai anak-anak, Syamsul bersyukur isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana memberi kerjasama yang baik.

“Setakat ini Alhamdulillah, saya jumpa anak-anak saya. Sarah pun beri kerjasama yang baik biarpun dia memfailkan hadanah atau hak penjagaan.

Apapun dari pihak saya, Insya-Allah Sarah tak perlu risau. Selama ini pun biarpun kami ada masalah, saya dan Sarah bersikap profesional mengenai anak, masing-masing beri kerjasama. Alhamdulillah, saya pun berjumpa anak-anak saya.

“Selama ini pun saya banyak kali berjumpa anak tetapi tidak berkongsi di media sosial. Itu hal peribadi,” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Puteri Sarah Tak Hadir Kes Sebutan Nusyuz, Syamsul Yusof Mohon Doa – “Hanya Mampu Bersangka Baik Kepada…”

Syamsul ditemui usai kes sebutan tuntutan nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, sebentar tadi.

Mahkamah menetapkan tarikh baharu iaitu 8 Mei bagi sebutan tuntutan nusyuz yang difailkan oleh Syamsul, 39, terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah, 38.

Tarikh baharu itu ditetapkan berikutan Puteri Sarah tidak dapat hadir kerana tuntutan kerja di Jakarta, Indonesia.

Padin