Syukur Dapat Bertemu Kembali, Fizi Ali Tak Sia-Siakan Masa Dengan Ameena – “Satu Perasaan Yang Tidak Dapat Digambarkan”

Penyampai radio dan pengacara Fizi Ali meluahkan rasa syukur dapat meluangkan masa bersama anaknya, Ameena Sofea kembali.

Terdahulu, bekas isterinya juga pelakon, Shakilla Khoriri telah membenarkan bekas suaminya untuk berjumpa dengan anak mereka selama empat hari bermula 1 Mac di atas persetujuan kedua-dua belah pihak.

Kata Fizi, dia tidak dapat menggambarkan perasaan gembiranya apabila bertemu anaknya semula selepas tiga bulan tidak berjumpa.

“Saya dah lama tak jumpa dengan anak saya. Tapi, memang satu perasaan yang tidak dapat digambarkan apabila saya ambil dia dekat sekolah dia nampak saya terus menjerit gembira.

“Walaupun sibuk dengan AJL saya kena teruskan tuntutan kerja. Kalau ikut plan memang nak luangkan masa bersama.

“Tapi sebelum mula bekerja, saya sempat bawa dia jalan-jalan kejap dan bawa dia ke rumah mak ayah saya,” katanya.

Perkara itu telah dikongsikan oleh Fizi ketika ditemui di Karpet Merah Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38), di Axiata Arena Bukit Jalil, Ahad lalu.

Meskipun sibuk bekerja, Fizi enggan mensia-siakan peluang untuk bersama Ameena dan mengikut perjanjian yang telah dimaterai bersama Shakilla.

“Dia tak pernah tanya saya kenapa lama tak jumpa dia. Saya pun tak pernah bertanya kepada dia sebab dia fikir benda yang dah lepas. Yang penting, bila waktu bersama dia happy.

“Dia ada tanya juga bila nak jumpa dan taknak balik selepas jumpa. Tapi saya explain dekat dia. Macam mana pun kita kena ikut dengan apa yang telah dimetrai dalam perjanjian tu, so kita tak boleh nak langgar,” jelasnya.

Fatin Nurain