Tahniah! Neelofa Selamat Melahirkan Baby Boy

Pengacara, pelakon dan usahawan popular, Noor Neelofa Mohd Noor telah selamat melahirkan anak sulung lelakinya yang diberi nama Muhammad Bilal Bin Muhammad Haris.

Perkara itu dikongsi Neelofa menerusi muat naik di instagram story miliknya sebentar tadi.

Difahamkan, putera sulung pasangan ini selamat dilahirkan pada 29 Januari 2022 pada jam 3.44 petang.

PU Riz dalam satu kenyataannya hari ini  ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan pasangan ini.

“Syukur Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan, kini isteri saya sedang berehat dan kami sedang melalui satu fasa yang sangat menggembirakan untuk kami sekeluarga.

“Saya dan Neelofa ingin merakamkan jutaan penghargaan dan rasa penuh bersyukur atas doa yang dikirim oleh anda semua. Terima kasih atas ingatan kalian sejak kami mendirikan rumah tangga sehinggalah kami menimang cahaya mata.

“Sebagaimana kalian mendoakan kesejahteraan saya dan isteri tahun lalu, mohon titipkan juga doa-doa yang baik agar zuriat yang berada di pangkuan kami ini mampu menjadi khalifah yang dapat memberikan kebaikan kepada agama dan negara,” katanya.

Bagaimanapun, wajah anak sulung pasangan ini masih belum dikongsikan oleh mana-mana ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

Terdahulu, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, dan pasangannya Muhammad Haris Mohd Ismail,26, selamat diijabkabulkan pada satu majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada 27 Mac 2021.

 

Salma Syahbuddin