Tajul Cedera Parah, Pengsan Gara-Gara Kehilangan Banyak Darah

Penyanyi Tajul dikejarkan ke hospital di Kajang akibat mengalami cedera parah di bahagian tangan kanan selepas terkena kaca almari baju yang tiba-tiba pecah, semalam.

Memetik laporan mStar, isteri Tajul iaitu Nurul Shamieza memberitahu Tajul menarik gelongsor almari yang mempunyai cermin di bahagian luar sebelum pecah dan kacanya tersusuk pada tangan.

“Susah nak cakap bagaimana kejadian berlaku tetapi saya boleh katakan tangannya luka selepas terkena kaca almari yang pecah. Kejadian berlaku sekitar pukul 7 petang tadi.

“Pada awalnya saya bawa ke klinik berhampiran namun doktor minta terus ke hospital untuk pemeriksaan lanjut kerana bimbang ada terdapat serpihan kaca yang terbenam di bahagian luka.

“Sekarang masih di unit kecemasan dan doktor sudah mencuci bahagian luka dan masih menanti keputusan X-ray,” katanya.

Menurut Shamieza, pada awalnya, suaminya berdegil tidak mahu ke hospital kerana menyangka keadaannya tidak teruk.

Namun, setiba di rumah dari klinik, Tajul tiba-tiba pengsan dipercayai kehilangan banyak darah dan segera dibawa ke unit kecemasan.

“Dia ingat tiada masalah besar. Dia degil tak mahu ke hospital. Kemudian tiba-tiba sahaja dia pengsan, itu yang saya terus bawanya ke hospital.

“Dalam keadaan kelam kabut saya terpaksa minta bantuan jiran untuk menjaga anak di rumah,” ujarnya.

Terdahulu, Shamieza berkongsi perkara tersebut di Instagram miliknya.

Susulan perkara itu, Tajul terpaksa membatalkan penggambaran yang dijadualkan pada Selasa.

Maya Basir