Tak Berniat Sembunyi Berita Baik, Syamel Sahkan Ernie Zakri Hamil 4 Bulan

Spekulasi mengenai kehamilan penyanyi berbakat, Ernie Zakri akhirnya terjawab apabila suaminya, Syamel mengumumkan isterinya kini hamil anak sulung hasil perkahwinan mereka.

Penyanyi lagu Kau Pun Sama itu berkongsi khabar gembira itu di laman Instagram.

“Alhamdulillah untuk rezeki-Mu, ya Allah. Engkau permudahkanlah perjalanan Ini,” tulisnya.

Difahamkan, kandungan Ernie kini memasuki usia empat bulan dan beliau turut berdepan dengan alahan.

“Alhamdulillah usia kehamilan saya sudah memasuki 16 minggu iaitu sekitar empat bulan. Ketika trimester pertama semuanya okay, saya tidak mengalami sebarang alahan.

“Namun, memasuki trimester kedua ini saya sudah mula sensitif terhadap makanan pedas dan berminyak. Saya akan muntah-muntah serta sudah mula mengalami alahan seperti yang dilalui kebanyakan ibu mengandung,” katanya kepada Harian Metro.

Kata pasangan ini lagi, mereka tidak berniat untuk menyembunyikan kehamilan Ernie namun situasi keluarga mereka yang baru sahaja menempuhi kehilangan arwah ibu Syamel menjadi penyebab ia bukanlah waktu terbaik untuk berkongsi berita gembira.

Ernie dan Syamel mendirikan rumah tangga pada 26 Mac lalu dalam sebuah majlis tertutup.

Attiqah Mohd

""Above all, she is the girl who 'feels' things, who has hung on to the freshness and pain of adolescence, the girl ever wounded, ever young.”