“Tak Keterlaluan Gelar Penyanyi Nombor Satu” – Hanya Berlatih Dalam WhatsApp, Datuk Mokhzani Puji Persembahan Siti Nurhaliza

Maestro muzik tersohor, Datuk Mokhzani Ismail memuji biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berjaya ‘memukau’ penonton ketika menjadi penyanyi jemputan di Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 dan ambang tahun baharu, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di Instagram Ketua Juri Anugerah Juara Lagu (AJL) itu, Mokhzani menganggap tidak keterlaluan untuk menggelarkan Siti Nurhaliza sebagai penyanyi nombor satu Malaysia.

“Tidak keterlaluan kalau nak sebut Datuk Seri Siti Nurhaliza penyanyi nombor satu Malaysia, dan mungkin ada lagi yang in the making ke arah itu. Cuma dia tiada tolok bandingnya dan berada dalam kelas yang paling tinggi,” tulisnya.

Menjadi konduktur muzik mengiringi persembahan Siti pada malam ambang sambutan tahun 2024 di Melaka, Mokzani berkata mereka tidak sempat melakukan latihan secara bersemuka.

Meskipun begitu, latihan yang dijalankan secara dalam talian menerusi aplikasi WhatsApp itu membuat ramai pihak terkesima dengan lontaran vokal Siti pada malam tersebut.

“Walau kita tak sempat nak practice yang sebenar-benar practice kerana faktor hujan di lokasi, jalan terbaik saya hantar video saja dan dia respon dalam WhatsApp.

“Tetapi dia muncul semalam dengan penuh keyakinan dengan nyanyian secara langsung yang sangat meremang,” tulisnya berserta tanda pagar #CTHebat.

Antara lagu yang dibawa oleh pelantun lagu popular Cindai pada malam sambutan tersebut itu adalah Kurik Kundi, Bukan Cinta Biasa, Romansa Cinta dan Menjaga Cintamu.

Aqilah Paharuzi