Tak Lagi Bersendiri, Alif Satar Selesa Dengan….

Penyanyi, pengacara dan pelakon, Alif Satar mengakui tidak lagi sendiri dalam mewarnai karier muziknya.

Semakin selesa bergerak secara berkumpulan bersama The Locos, mereka kini dikenali dengan nama Alif Satar & The Locos.

“Sejujurnya, sebagai seorang penyanyi, bila saya membuat persembahan dengan kumpulan atau band, ia lebih memberi kepuasan.

“Sebenarnya, The Locos sudah ada semenjak lima tahun lalu dan kami sudah bekerjasama dalam beberapa projek. Kini, saya tak fikir sangat kerjaya solo dalam bidang muzik. Tapi, saya sendiri tak tahu apa yang bakal jadi di masa hadapan.

“Boleh dikatakan, buat masa ini, saya sangat selesa bersama The Locos. Alif Satar & The Locos adalah apa yang saya ingin bawakan dalam industri muzik sekarang,” katanya pada sidang media secara maya pelancaran single pertama mereka, Anugerah Terindah baru-baru ini.

Menurut Alif, ilham menghasilkan lagu Anugerah Terindah hadir ketika mereka mengadakan persembahan jelajah di Sheifield, United Kingdom pada Februari 2019.

“Lagu ini dicipta oleh saya sendiri bersama Romeo, Tam Cobain dan Efry Arwais. Liriknya juga ditrulis oleh saya bersama Shah Shamshiri dan Romeo. Proses pembikinan single ini mengambil masa yang agak lama untuk dihasilkan iaitu dari 2019 sehingga tahun ini.

“Betapa uniknya lagu ini kerana ia adalah ciptaan bersama sebagai sebuah kumpulan muzik yang bermula di UK dan kemudiannya bersambung di Malaysia tahun lalu ketika Malaysia di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah ke dalam studio muzik tahun ini,” katanya.

Dengarkan lagu Anugerah Terindah di semua platform penstriman digital dan muzik videonya boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia.

Padin