Tak Sampai Setahun Berkahwin, A.Aida Umum Sudah Bercerai

Penerbit drama popular, Datuk A Aida mengesahkan sudah bercerai talak satu dengan pasangannya, Ariff Aziz pada 25 April lalu.

A Aida atau pemilik nama penuh, Zaidah Awang berkongsi sudah memfailkan penceraian perkahwinan keempatnya itu pada 4 April lalu. Dia menganggap punca penceraian terlalu peribadi untuk dikongsi kepada umum.

“Jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan, apabila rumah tangga tidak dapat diteruskan lagi, maka saya mendapatkan nasihat peguam berhubung perihal itu.

“Fail perceraian sudah dibuat sejak 4 April lalu di bawah seksyen 47 iaitu meminta kebenaran mahkamah untuk bercerai secara baik dan seterusnya kami sah bercerai pada 25 April lalu di Mahkamah Syariah Gombak Timur.

“Biarlah ia menjadi rahsia kerana tidak mahu memanjangkan lagi perkara ini. Sidang media ini dibuat bagi menjawab spekulasi umum yang menanyakan mengenai status perkahwinan saya,” katanya kepada Xtra.

Aida dan Ariff berkenalan sejak 2015 ketika menjalin kerjasama dalam beberapa projek drama terbitan A Aida Productions.

Pasangan ini disatukan pada Julai 2018.

Oleh: Zaara Talita

SGMS Faida