Tak Sangka Hasil Karya Dapat Sambutan, Amylea Mahu Pertaruhkan Lagu Sendiri Di AJL Tahun Depan

Komposer dan penyanyi, Amylea Azizan mengakui tidak sangka lagu ciptaannya, Selagi Ku Ada, nyanyian Khai Bahar dan Nabila Razali mara ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38 .

Menurut Amylea, dia tidak mengharapkan lagu tersebut layak ke pentas berprestij itu, namun berterima kasih atas sokongan ramai.

“Saya sudah lama tidak berharap apa-apa, tetapi tak nafikan anugerah menjadi penentu kejayaan. Saya percaya kalau Allah tak berikan, pasti ada sebab. Ia juga bukan faktor saya patah semangat dan enggan berusaha.

“Tapi, saya memang tidak mengejar apa-apa, tahun ini. Ia seperti gembira atau sedih sangat pun tidak.

“Jujurnya, saya datang ke SFMM 38 atas desakan suami. Dia beri semangat suruh pergi dan emak pun mengatakan perkara yang sama. Ketika itu, saya baru kenal suami, jadi mahu kenalkan kepada kawan.

“Saya rasa sangat kerdil, namun terharu melihat komen yang menyokong, malah ketika persembahan lagu, ada peminat artis lain memberikan respon positif. Saya tak sangka orang tahu lagu saya,” katanya.

Dalam pada itu Amylea turut menyatakan dia tidak menyangka karyanya mendapat sokongan ramai dan diterima baik.

Malah, dia turut meluahkan rasa teruja dan bersemangat untuk kembali berjuang dengan mempertaruhkan lagu nyanyiannya sendiri di pentas berprestij itu, tahun depan.

“Dua single saya tidak dicalonkan dalam Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM 38) sebab saya tak hantar.

“Saya rasa tiada siapa kisah, sama ada saya hantar atau tidak, ia tidak memberi kesan, tapi insya-Allah saya akan calonkan lagu yang saya nyanyikan, tahun depan.

“Dengan adanya lagu ciptaan saya dinyanyikan oleh Ernie Zakri dan seterusnya satu lagu yang dihasilkan untuk seorang penyanyi dan lagu sendiri, saya mahu calonkan lagu ini dalam SFMM tahun depan.

“Jujurnya, saya bersemangat untuk berjuang semula. Saya tak menafikan rasa rendah diri untuk bersaing, tapi saya mahu cuba yang terbaik,” katanya kepada BH Online.

Sumber: BH Online

Fatin Nurain