Tak Serik, Artis Kelahiran Singapura Tu Buat Hal Lagi?

Pelakon Indonesia, Raja Yunika Putri mendakwa seorang artis lelaki Singapura yang menempa nama di Malaysia mencuri sejumlah wang ketika berada dalam sebuah kelab malam di Singapura pada 7 Jun lalu.

Yunika menerusi portal berita haluankepri.com mengakui berjumpa dengan artis terbabit di Clarke Quay, Singapura.

“Pada masa itu saya berjumpa dengan dia di Clarke Quay, Singapura.

“Saya kemudian pergi membuat bayaran di kaunter dengan meninggalkan beg mengandungi wang dan barang berharga di tempat duduk,” dakwanya.

Yunika mendakwa, tidak berapa selepas itu, artis lelaki itu mengucapkan selamat tinggal dengan alasan mahu bertemu rakannya di tempat lain.

“Tidak lama selepas artis itu pergi, saya mengambil dompet dalam beg.

Malangnya, sejumlah wang dalam mata wang dolar Singapura dan rupiah saya hilang.

“Sudah pasti saya mengesyaki artis terbabit mengambilnya berikutan sebelum itu beg saya berada di tempat duduk.

“Saya ada memberitahunya mahu melaporkan kejadian kepada polis, namun dia mencabar saya supaya terus melaporkannya,” katanya.

Susulan itu, Yunika melaporkan kejadian itu kepada polis Singapura dan kes itu kini dikendalikan oleh polis republik itu.

Dia turut meminta bantuan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq dan menteri itu menasihatinya untuk melaporkan kejadian kepada polis.

“Kes ini mendapat perhatian Atase Nasional Polis Singapura, Joko Setiono,” kata Yunika.

Yunika turut mengucapkan terima kasih kepada Syed Saddiq kerana membantunya sehingga kes berkenaan mendapat perhatian polis Singapura.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada YB Syed Saddiq. Kerana peranannya, insiden ini boleh sampai ke polis Singapura.

“Selepas kejadian itu, saya segera menghubungi beliau dan atas cadangannya saya diminta melaporkan kepada polis,” katanya.

Dia yang terkenal membintangi filem Cinta Palsu Suaminya berkata, pada mulanya dia tidak tahu apa perlu dilakukan di negara orang.

“Pada awal kejadian, saya kecewa dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tetapi saya menghubungi Syed Saddiq yang saya kenal beberapa lama dulu.

“Syukurlah dia memberi maklum balas dan meminta saya melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beberapa portal berita di Indonesia menyebut Aliff Aziz sebagai artis yang didakwa terbabit dalam kes itu.

Imbas kembali, Aliff pernah didakwa mencuri dua telefon bimbit di negaranya pada tahun 2014 namun dibebaskan selepas membayar denda.

Oleh: Endy Ashaari

SGMS Faida