Tampil Dengan Konsep Berbeza, 7 Pasangan Selebriti Tanah Air Bakal Berentap Dalam Famili Duo 18 Disember Ini

Program realiti nyanyian TV3 Famili Duo kembali dengan musim terbaharu dalam menampilkan tujuh pasangan selebriti popular tanah air, bermula 18 Disember ini.

Program 8 episod ini juga bakal dikendalikan oleh Janna Nick dan Sean Lee selaku hos rancangan, manakala Ajai dan Mas Idayu sebagai juri tetap.

Famili Duo merupakan program realiti nyanyian yang unik dalam menyaksikan pasangan selebriti popular yang mempunyai pertalian darah berentap untuk merebut hadiah mingguan yang berjumlah RM 10,000 setiap minggu.

Selain itu, peserta yang mara kepusingan akhir bagi musim ini berpeluang untuk merebut hadiah utama sebanyak RM100,000 dengan pemarkahan sebanyak 80% ditentukan oleh juri tetap dan 20% undian atas talian dari penonton.

Menurut Muhamad Sufian Che Isa selaku penerbit eksekutif, program kali ini tampil berbeza berbanding musim pertama yang mula diperkenalkan pada tahun lalu kerana telah mempunyai banyak pembaharuan.

“Untuk musim kali ini memang banyak pembaharuan yang kita buat. Pertandingan kali ini bukan hanya santai-santai tetapi kita dah ada juara mingguan dan juara keseluruhan jadi persembahan dari setiap peserta lebih berkualiti.

“Cuma perbezaannya untuk musim kali ini, kami bukan menilai dari segi vokal, malah persembahan yang paling menghiburkan dari segi konsep dan pemilihan lagu mereka menjadi fokus penting dalam proses penilaian nanti,” katanya.

Antara tujuh pasangan peserta yang bersaing pada musim ini adalah Ara Johari & Shaffiq Erwin (sepupu), Ayda Jebat & Fyna Jebat (adik-beradik), Bella Astillah & Wani Kayrie (sepupu), Sabhi Saddi & FareedPF K-Clique (Adik Beradik), Sissy Imann & Naim Daniel (Sepupu), Siti Sairah & Siti Saida (adik-beradik) dan Yamani Abdillah & Zaki Yamani (adik-beradik).

Program ini akan bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 dan strim langsung secara HD di www.tonton.com.my

Fatin Nurain