Categories: HiburanTrending

Tampil Dengan Lagu Rancak, Sarah Suhairi Tak Berlebih Dalam Tarian

Tampil dengan single terbaharu berjudul Burn, penyanyi Sarah Suhairi, 22, berusaha untuk menjaga batas sebagai seorang wanita berhijab.

Biarpun lagu hasil ciptaan Apipapol itu bernada rancak, Sarah memahami sensitiviti rakyat Malaysia dan enggan menampilkan tarian yang berlebihan dalam muzik video Burn.

“Saya cuba hadkan kelincahannya menari dan hanya bergoyang sedikit. Saya sendiri bercakap dengan koreografer sebelum pembikinan muzik video, saya tak mahu aksi tarian terlalu lincah atau seksi.

“Setiap step yang ditampilkan terhad dan tidak berlebihan. Asakan ia dapat memberikan warna ke dalam muzik video, itu sudah memadai,” katanya.

Sarah ditemui XTRA usai majlis pelancaran single Burn terbitan MVM dan Warner Music Malaysia di pejabat Rusa Music pada Isnin.

Kali terakhir muncul dengan lagu rancak pada 2018 menerusi Nyawa & Raga, Sarah teruja dengan kehadiran Burn.

“Lama saya berbincang dengan Apipapol mengenai lagu ini, akhirnya ia menjadi kenyataan. Saya rindukan genre sebegini kerana kali terakhir saya tampil dengan sesuatu yang rancak adalah lima tahun lalu.

“Saya selalu kagum lihat kumpulan Defam dan Dolla yang sering bertenaga menyanyikan lagu rancak, jadi saya juga mahu menampilkan sesuatu yang berbeza setelah sering menyanyikan lagu balada,” katanya lagi.

Padin