Tangguh Untuk Ada Anak Dengan Shuib, Watie Mahu Fokus Besarkan Anak Tiri

Isteri kepada pelawak dan usahawan, Shuib, Watie Hanifiah mengaku masih belum merancang untuk mempunyai anak sendiri.

Ketika ditemui XTRA, Watie berkata, buat masa ini fokus hanya diberikan untuk membesarkan keempat-empat anak tirinya.

“Kalau tanya bersedia atau tak tu, buat masa ini fokus hanya diberikan untuk anak-anak yang ada.

“Bukan mereka (anak-anak Shuib) tak ada minta. Ada je, cuma kalau saya jaga Ayash ke mereka selalu cemburu. Jadi macam mana kalau ada anak sendiri nanti.

“Lagipun benda ni kami tak pernah bincang, inshaa-Allah mungkin kedepan nanti,” katanya.

 

Perkara itu dikongsi Watie atau nama penuhnya, Fati Nikmatul Adawiyah Hanafiah ketika sidang media program Dapur Tempur yang diadakan di Le Quadri Hotel, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Shuib juga memaklumkan dia dan isterinya itu tidak merancang untuk memiliki zuriat sendiri kerana mahu memberikan perhatian yang cukup terhadap anak-anaknya kini.

“Kita memang tiada perancangan, sekarang ini memang mahu fokus kepada empat orang ini memandangkan Uwais kini dah 12 tahun, dimana ini adalah waktu kritikal,” jelasnya.

Mengulas lanjut, pasangan suami isteri popular ini mengaku bersedia dan tidak sabar untuk beraksi dalam program Dapur Tempur yang akan disiarkan pada 18n November 2023.

“Saya memang minat program yang melibatkan pasangan ni. Samalah dulu masa dengan arwah Sarah, banyak program saya dengan dia,” ujarnya.

Untuk info, Shuib dan Watie merupakan antara peserta program Dapur Tempur selain Wani Kyrie dan ibunya (Mama Kay), Didie Alis bersama anaknya Diyana Ridzuan serta Bella Astillah dan ibunya Zarina Salleh.

Program Dapur Tempur Selebriti ini akan bersiaran sebanyak empat episod pada setiap hari Sabtu di TV9 dan juga Tonton.

Salma Syahbuddin