Terdiri Dari 10 Orang Ahli, ISOBAHTOS Akui Bukan Bayang-Bayang K-Clique -“IsoB Ada ‘Speciality’ Tersendiri”

Kumpulan yang terdiri dari 10 orang anak muda yang berasal dari Sabah dan menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan ISOBAHTOS atau IsoB ini mungkin tidak popular seperti Kumpulan hip hop terkenal, K-Clique.

Namun, kehadiran mereka memberi petanda baharu bahawa generasi muzik hari ini sentiasa mahu memberikan kelainan menerusi setiap karya, sekaligus meletakkan golongan itu dalam liga tersendiri.

Ketika ditanya mengenai punca kenapa kumpulan ini kurang dikenali, Mohd. Azizan Danial Abdullah atau A.D selaku wakil ahli kumpulan berkata,  IsoB mahu membawa dan memartabatkan unsur seni budaya dan warisan tradisi masyarakat Borneo melalui muzik mereka.

Malah, faktor tidak dikenali itu mungkin disebabkan penggunaan bahasa atau dialek Sabah yang digunakan sehingga membuatkan orang lain kurang faham dan memberi perhatian terhadap mereka.

“Mungkin language barrier. Kami terlalu tekankan pasal bahasa atau dialek di negeri Sabah ni yang pelbagai. Jadi, mungkin orang tak faham dan kurang memberi perhatian.

“Jadi, untuk menangani masalah ni kami juga perlu dan harus belajar untuk memperkenalkan lagu kami yang senang orang faham,” katanya kepada XTRA.

IsoB ditemui ketika majlis pelancaran lagu baharu mereka berjudul Kados yang diadakan secara virtual pada Khamis.

 

Menurut salah seorang anggota IsoB, Roysten Habirin Lapongan (RODB), Kados merupakan buah tangan terbaharu daripada mereka yang disifatkan sebagai hadiah buat peminat.

” Lagu in adalah hadiah daripada kami kepada pendengan muzik ISOBAHTOS. Tajuk KADOS berasal daripada bahasa Indonesia ‘Kado’ yang membawa maksud hadiah. Hadiah dalam lagu ini merujuk kepada kebebasan atau kepuasan dalam diri selepas mencapai sesuatu yang diidamkan atau dingini.

“Dan apa yang pasti, lagu KADOS ini bertemakan komedi gelap dengan unsur-unsur konsep fiksyen sains atau ‘sci-fi’ selain disesuaikan dengan jalan cerita video muzik lagu itu,” jelasnya.

Sementara itu, IsoB juga menegaskan, tidak timbul isu perbandingan antara mereka dan K-Clique kerana masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Isu dibandingkan dengan kumpulan K-Clique memang ada. Kami ada terima komen. Tapi, bagi kami IsoB itu ada ‘speciality’ nya tersendiri begitu juga K-Clique.

“Macam IsoB, speciality tu daripada kami yang datang dalam satu kumpulan tarian. Semua penari. Jadi, kalau nampak mungkin kelebihan itulah yang boleh kami gunakan selain ‘bunyi’ yang ada dalam muzik kami,” ujarnya.

Untuk makluman, KADOS bakal dilancarkan di semua platform digital bermula 4 November 2022 ini pada jam 12 tengah malam. Manakala muzik video rasminya boleh ditonton di saluran YouTube ISOBAHTOS bermula jam 9 malam pada tarikh yang sama.

Salma Syahbuddin