Terima Nasihat Nenek Dengan Hati Terbuka, Syasya Dolla Enggan Hipokrit – “Saya Tak Mahu Berpura Jadi Orang Lain”

Anggota kumpulan Dolla, Syasya atau nama penuhnya, Norsyasya Afiqah Shahrizal, 22, mengaku sentiasa terbuka menerima nasihat daripada neneknya yang juga pelakon senior, Rozie Othman terhadap penampilannya yang dikatakan terlampau seksi.

Menurut Syasya, dia tidak mahu berpura-pura menjadi orang lain, namun berusaha untuk memperbaiki dirinya menjadi lebih baik kelak.

“InsyaAllah apa yang ditegur saya akan perbaiki. Bagi saya, apa yang nenek saya katakan itu ada betulnya.

“Tapi generasi sekarang pun ada gaya tersendiri. Saya tak mahu berpura-pura jadi orang lain,” katanya.

Menyifatkan neneknya seorang yang cool, Syasya memaklumkan hubungan mereka sangat akrab memandangkan neneknya sering mengambil berat dan memahami apatah lagi dia juga merupakan seorang pelakon dan faham situasi menjadi seorang artis.

“Saya tahu niatnya baik apatah lagi saya cucunya dan memang sifatnya suka mengambil berat. Hubungan kami memang akrab.

“Raya pun kami ada bertemu, dia seorang nenek yang cool malah dia juga seorang pelakon dahulu jadi dia faham,” jelasnya.

Dalam pada itu, Syasya tidak pernah berasa tertekan dengan kecaman dan kritikan netizen terhadap penampilannya yang dikatakan terlalu seksi.

“Setiap orang berhak menyuarakan pendapat mengenai isu itu dan kita tak ada hak untuk suruh mereka berhenti.

“Dan saya tak rimas kerana seksi itu adalah imej saya dan saya juga ada hak untuk kata saya okay.

“Setiap orang ada pendapat tersendiri, tapi kalau ada yang rasa saya terlampau seksi saya akan cuba perbaiki dan berhati-hati dalam membuat pilihan selepas ini,” ujarnya.

Terdahulu, Rozie ada menasihati cucunya itu agar tidak terlalu seksi dalam pemakaian dan mendoakan cucunya agar mendapat hidayah daripada Tuhan.

ARTIKEL BERKAITAN:Dah Cuba Nasihat, Rozie Othman Mahu Syasya Dolla Ubah Penampilan – “Seksi-Seksi Macam Ni, Nenek Tak Berkenan”

 

Sumber: mStar

Salma Syahbuddin