Terpaling Juara: Akim Kecewa, Akui Aqeesh Mampu Ikut Jejak Stacy – “Dia Ada Bakat Luar Biasa”

Anak didik kepada kapten Akim Ahmad, Aqeesh Aleeya terpaksa akur dengan penyingkirannya di konsert minggu keenam Terpaling Juara selepas berada di tempat tercorot bersama Aqmal yang merupakan anak didik kepada kapten Naim Daniel.

Bagaimanapun, Akim selaku kapten mengakui kecewa dengan keputusan penyingkiran tersebut memandangkan prestasi konsisten yang ditunjukkan oleh anak didiknya sebelum ini.

 

Akim berharap agar anak didiknya itu bertahan sehingga ke pusingan separuh akhir yang akan berlangsung pada minggu hadapan.

“Saya rasa Aqeesh patut ada lagi untuk minggu hadapan. Sebelum ini, dia berada di Top 2, jadi saya terkejut dengan penyingkiran anak didik saya,” katanya.

 

Miliki bakat luar biasa dan berpotensi ikut jejak Stacy

Sementara itu, Akim juga mengakui bakat yang dimiliki Aqeesh sangat luar biasa kerana mampu menari sambil menyanyi.

Malah, bakat yang dimiliki oleh anak gadis berusia 18 tahun itu juga turut diakui oleh juri tetap, Datuk Hattan dan Fauziah Latiff.

“Aqeesh ada bakat yang besar dan luar biasa. Perjalanannya masih panjang dan boleh meneroka lagi macam-macam. 

“Selain sering menerima pujian dari juri tetap Datuk Hattan dan Fauziah Latiff, kebolehannya menari sambil menyanyi juga dilihat berpotensi besar untuk ikut jejak langkah Stacy.

“Malah, kehadirannya itu sekaligus memberikan saingan sengit kepada peserta lain,” jelasnya.

Terdahulu, pertarungan bagi pusingan separuh akhir yang akan berlangsung pada 2 Oktober nanti akhirnya terjawab apabila, Shaz, Rahmad Mega, Aqmal dan Hazami berjaya meletakkan diri mereka sebagai peserta yang layak berentap ke pusingan seterusnya.

Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, jangan lupa saksikan Terpaling Juara setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.

Terpaling Juara juga dapat disaksikan dengan strim langsung secara definisi tinggi di laman portal video www.tonton.com.my

Gunakan tanda pagar #TerpalingJuara dan #PlaylistAJL untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.

 

Salma Syahbuddin