Terpaling Juara: Fauziah Latiff Guna Kuasa Veto, Semua Peserta Mara Ke Final!

Penyanyi Fauziah Latiff telah menggunakan kuasa vetonya untuk tidak menyingkirkan mana-mana peserta program Terpaling Juara pada minggu separuh akhir yang berlangsung sebentar tadi.

Pengumuman itu sekali gus melayakkan Rahmad Mega, Aqmal, Shaz dan Hazami berjaya mara ke peringkat akhir minggu hadapan.

Terdahulu, program itu menyaksikan Shaz dan Hazami yang merupakan anak didik Hael Husaini dan Akim Ahmad sebagai dua peserta tercorot pada minggu ini.

Namun, Datuk Hattan selaku juri tetap telah mengumumkan kedua-dua peserta tersebut perlu berentap di pusingan ‘Battle’ menerusi lagu Sejati nyanyian asal kumpulan Wings untuk melayakkan diri ke final.

Malah, Hattan juga memaklumkan sepatutnya Hazami merupakan peserta yang tersingkir pada minggu ini.

Menurut Fauziah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Jee, selaku juri tetap dia tidak bersetuju dengan keputusan untuk menyingkirkan salah seorang peserta itu.

“Saya tidak bersetuju. Kalau boleh, saya nak dua-dua ke final dan guna imuniti.  Pada pusingan kali ini, kedua-duanya telah membuktikan mereka mempunyai persembahan yang terbaik.

“Untuk battle ini, mereka berdua sudah buktikan, sayang kalau kita tidak masukkan mereka ke pusingan akhir. Saya tetap dengan keputusan saya, saya nak kedua-duanya stay,” katanya.

Hasil persetujuan pihak juri, empat peserta yang bertanding diumumkan bakal mara ke pusingan akhir pada minggu hadapan bagi merebut gelaran juara.

Selain itu, Rahmad Mega yang mempersembahkan lagu Kejora Bersatu nyanyian asal kumpulan Search turut menerima hadiah persembahan terbaik pada minggu ini dan membawa pulang wang tunai RM5,000.

Terpaling Juara dihoskan oleh Haziq Hussni dan Shiha Zikir, bersiaran selama lapan episod di TV3 pada setiap Ahad, jam 9 malam.

Pemenang Terpaling Juara bakal membawa pulang hadiah bernilai RM100,000, manakala naib juara  bakal memenangi RM50,000 dan tempat ketiga pula menerima RM30,000.

Fatin Nurain