Terpaling Juara: RM5,000 Milik Rahmad Mega, Semua Peserta Layak Ke Final… Ini Recap Konsert Ketujuh!

Konsert ketujuh Terpaling Juara yang diacarakan oleh Haziq Hussni dan Shiha Zikir berlangsung dengan meriah malam tadi di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Bersiaran secara langsung di TV3, Terpaling Juara mempertaruhkan tiga kapten, Akim Ahmad, Hael Husaini dan Naim Daniel yang merupakan penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik yang berbakat besar serta pemilik trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) di anugerah paling berprestij.

Menerusi program yang menampilkan Datuk Hattan dan Fauziah Latiff selaku juri tetap serta Ajai sebagai juri jemputan konsert ketujuh, tiga kapten akan membimbing seorang penyanyi senior dan seorang bintang baharu untuk menjayakan persembahan mingguan yang bertemakan #PlaylistAJL.

Pada minggu ketujuh ini, persaingan antara empat peserta menjadi lebih sengit dan hangat demi mempertaruhkan kedudukan mereka untuk mara ke peringkat final, minggu hadapan.

Minggu Ketujuh:

Aqmal – Aku Skandal (AJL 24, nyanyian asal Hujan)

Shaz – Hanya Namamu (AJL 30, nyanyian asal Caliph Buskers)

Hazami – Aurora (AJL 24, nyanyian asal Estranged)

Rahmad Mega – Kejora Ku Bersatu (SFMM 15, nyanyian asal Search)

Konsert minggu ketujuh Terpaling Juara juga dimeriahkan lagi dengan persembahan pembukaan yang istimewa daripada Is Projector Band dan Yabang Khalifah menerusi lagu Sudah Ku Tahu dan Hang Pi Mana yang pernah bertanding di Anugerah Juara Lagu 31.

Pada minggu ketujuh juga, Terpaling Juara telah diserikan dengan persembahan  penutup penyanyi Muss May dengan lagu Sendiri yang bertanding di Anugerah Juara Lagu 1989.

Konsert itu juga dihangatkan lagi dengan pusingan ‘Battle Bottom 2’ yang menyaksikan Shaz dan Hazami bersaing untuk merebut tempat yang melayakkan mereka ke pusingan terakhir menerusi lagu Sejati nyanyian asal Wings.

Persembahan terbaik minggu ketujuh Terpaling Juara ini menyaksikan persembahan mantap Rahmad Mega yang menyampaikan lagu Kejora Ku Bersatu menjadi pilihan juri dan penonton.

Pemenang ditentukan dengan 70 peratus markah juri tetap dan 30 peratus markah undian atas talian di www.xtra.com.my/terpalingjuara.

Diumumkan sebagai Persembahan Terbaik, Rahmad Mega yang merupakan anak didik Hael Husaini berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000 sekali lagi pada minggu ini.

Konsert minggu ketujuh ini juga menyaksikan ke semua peserta layak untuk mara ke peringkat akhir apabila Fauziah Latiff menggunakan imunitinya selaku juri tetap untuk tidak mengadakan sebarang penyingkiran.

Tema minggu hadapan juga telah ditetapkan oleh pihak produksi di mana setiap peserta perlu menyanyikan dua buah lagu iaitu sebuah lagu solo dan berduet bersama kapten masing-masing.

Konsert Terpaling Juara minggu ketiga juga menyaksikan tiada penyingkiran yang berlaku selepas Datuk Hattan tidak bersetuju mana-mana peserta disingkirkan pada minggu ini.

Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, jangan lupa saksikan Terpaling Juara setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.

Terpaling Juara juga dapat disaksikan dengan strim langsung secara definisi tinggi di laman portal video www.tonton.com.my

Gunakan tanda pagar #TerpalingJuara dan #PlaylistAJL untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.

Fatin Nurain