Teruja Sampai Lupa Nak Beli Baju Raya, Doakan Abam!

Oleh: Zaara Talita

Berbeza daripada tahun sebelum ini, pelawak Abam Bocey menjelaskan persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini beralih kepada keterujaan bakal menyambut kelahiran cahaya mata sulung tidak lama lagi.

Pemilik nama lengkap, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan itu kini sedang bercuti daripada aktiviti seni untuk memberikan sepenuh fokus kepada isterinya, Siti Nurhidayah Mohd Ali yang sarat hamil.

“Kelainan pada tahun ini adalah segala persiapan adalah bagi menyambut bayi, sehingga hampir terlupa hendak membeli baju raya. Apatah lagi, isteri juga dijangka berpantang ketika orang sibuk beraya nanti.

“Semestinya saya teruja hendak menyandang gelaran bapa buat kali pertama dan Alhamdulillah…Segala persiapan sudah tersiap rapi. Cuma saya berharap segalanya berjalan lancar pada hari mencemaskan itu nanti.

“Berada dekat bersama keluarga, ia adalah satu kelebihan buat saya dan isteri. Namun, saya tidak harus memandang enteng kerana perlu bersama isteri menanti hari melahirkan,” katanya.

Mengulas keterujaan menghitung hari untuk menjadi bapa, Abam berkata, dia masih belum mengetahui jantina cahaya mata sulungnya itu kerana mahukan kejutan.

“Saya masih lagi belum mengetahui jantina namun menurut mak yang juga bekas bidan, isteri sedang hamil bayi lelaki kerana malas bersiap dan sebagainya. Ada beberapa lagi tanda-tanda yang menunjukkan saya bakal menimang anak lelaki.

“Yang penting adalah kesihatan isteri dan juga anak yang bakal lahir itu nanti. Lelaki atau perempuan, saya menerima rezeki Allah dengan hati terbuka,” kata Abam.

Abam mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya, Siti Nurhidayah Mohd Ali pada 8 Disember 2017.

SGMS Faida