“Tiada Istilah Hilang Fokus..” – Ashmirul Memilih Untuk Berlakon & Menyanyi Dalam Masa Yang Sama

Industri seni tempatan menyaksikan kemunculan pelapis yang mahu menyanyi dan pada masa sama, berlakon.

Bagi penyanyi baharu, Ashmirul atau nama penuhnya Amirul Ashraf Shafaruddin, perkara tersebut terpulang kepada diri sendiri, tepuk dada tanya selera.

Menurutnya, tidak mustahil untuk seeorang artis boleh berkembang sebagai penyanyi dan pelakon dalam masa yang sama jika ada perancangan yang betul.

“Ada yang minat menyanyi, ada berlakon. Ada juga kedua-duanya. Saya jatuh pada kategori ketiga. Boleh ‘gerak’ dua-dua.

“Tiada istilah hilang fokus bagi saya. Minat saya kepada dua bidang itu. Saya berkebolehan menyanyi. Pada masa sama, suka beraksi depan kamera, adakalanya juga bercakap seorang diri depan cermin,” katanya.

Ashmirul merupakan anak kelahiran Hulu Langat, Selangor dan graduan muzik di Universiti Reknologi Mara.

Katanya, dia tidak mahu mensia-siakan pendidikan yang ada dan mungkin suatu hari nanti mahu jadi cikgu vokal.

“Memang asalnya nak jadi cikgu. Bahkan selepas tamat pengajian di UiTM, saya sepatutnya sambung pula ke Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI),” kongsinya lagi.

Menyentuh soal saingan, Ashmirul beranggapan ia bukanlah satu penghalang kerana yakin bahawa usaha adalah senjatan yang perlu ditajamkan.

“Nak bertahan kena terus aktif dan berkembang. Saya pastikan lagu Tunggu bukan single pertama dan terakhir saya, akan ada kesinambungannya.

“Saya sedar pesaing ramai. Saya kena percaya saya lain daripada mereka. Saya tak mahu disamakan. Saya ada cara sendiri.

“Apa pun, kena ada keberkatan. Nak maju, kena rendah diri, jangan sombong dan hormat orang lain. Insya-Allah, boleh berjaya,” katanya.

Nurul Hana