Tiada Lagi Sambutan Meriah, Azharina Hormat Keadaan Bapa Di Hospital

Penyanyi Azhari mengakui terkejut dengan kejutan yang dianjurkan oleh kelab peminatnya, Azharina Angels yang berlangsung malam tadi.

Azharina yang menginjak usia ke 34 tahun ini ingin lebih bersederhana dalam masa sama tidak bercadang meraikannya.

“ Memandangkan bapa angkat saya kini masih berada di hospital, saya tidak berniat menyambut hari lahir tahun ini.

“ Apapun, saya cukup terharu dengan ingatan oleh Azharina Angels (kelab peminat) yang meraikan ulang tahun saya pada tahun ini.

“ Kalau tengok sambutan sebelum ini, saya selalu meniup banyak kek, bawa pelajar tahfiz dalam sambutan besar-besaran. Tahun ini agak berbeza sedikit,” katanya ketika ditemui di Nate Bistro Oasis Corporate Park, semalam.

Akui Azharina, seiring peningkatan usia dia mahu bermuhasabah diri dan inginkan perubahan ke arah lebih positif.

“ Saya bukan berhijrah disebabkan trend atau pengaruh orang sekeliling. Di usia 34, saya mahu mencari kebahagiaan rohani yang boleh membuatkan anak-anak berbangga dengan diri saya,” katanya.

Akui Azharina, dia yang sebelum ini dikenali sebagai selebriti yang sering bergaya dengan pelbagai jenis fesyen rambut dan busana, kini mahu lebih bersederhana.

“ Saya sudah puas melalui zaman itu dan sekarang saya mahu buat anak-anak bangga dengan perubahan saya. Tetapi jangan salah faham, hijrah ini bukan sebab nak memulakan bisnes tudung atau sebagainya, saya hanya mahu menjadi lebih baik daripada sebelum ini,” katanya jujur.

Dalam perkembangan lain, Azharina bakal tampil dalam konsert Azharina Queen Of Soul pada 29 Jun ini di Teater Shah Alam.

Nak dapatkan tiket, layari www.atlasoneevents.com. pada harga RM 288, RM 188, RM 158 dan RM 108.

SGMS Faida