Categories: HiburanTrending

Tiada Niat Mahu Merampas, Cuma Ingin Berikan Kasih Sayang… Fizi Ali Hadir Mahkamah Perjuang Hak Penjagaan Anak

Penyampai radio Hot FM, Fizi Ali hanya ingin melihat anaknya, Nur Ameena Sofia, mendapat kasih sayang yang sempurna dan perhatian secukupnya daripadanya.

Bahkan, Fizi memaklumkan dia tidaklah tergamak untuk merampas anaknya itu daripada bekas isteri, Shakilla Khoriri.

“Saya bukan nak rebut anak tapi mahu dia dapat hak yang sepatutnya dan kasih sayang dari mak dan ayahnya,” ujarnya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah untuk sebutan kes hadanah di sini, pagi tadi.

Sementara itu, akui sering menerima pelbagai tohmahan orang ramai, Fizi membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang agar menjadi pengajaran kepada masyarakat.

“Saya buat ini kerana sebagai bapa
saya tidak mahu dituduh macam-macam.

“Itu yang saya nak perjuangkan. Saya tahu ramai DM kerana mungkin mengalami nasib sama seperti saya,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya bila kali terakhir dia bertemu dengan anaknya, dia enggan mengulas lanjut.

Shakila dilihat tiba di mahkamah dengan ditemani peguamnya.

Terdahulu, Fizi memfailkan kes hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah lantaran Shakila tidak mengizinkan dia bertemu anaknya.

Fizi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shakilla Khoriri pada 18 Februari 2018, namun bercerai pada Disember 2021. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak perempuan, Nur Ameena Sofia.

Syamir Shafie