Tidak Mahu Layan Permintaan Individu, Nama Ruhainies Di Senarai Hitam?

Pelakon Ruhainies mendedahkan dirinya pernah diminta untuk memberi sogokan barangan mewah oleh seorang individu berpengaruh dalam industri jika mahu terlibat dalam sebuah projek drama.

Memetik laporan Harian Metro, dia tidak menyangka amalan sogokan berlaku kepada dirinya sehinggalah namanya disenarai hitam.

“Budaya sogokan atau rasuah ini sudah lama diamalkan dalam kalangan industri seni, tapi kejadian ini baru berlaku kepada saya tahun ini. 

“Sebelum ini apabila orang bercerita, saya tak percaya kerana tak berlaku pada diri sendiri sehinggalah terjadi depan mata saya. 

“Sekarang ini saya memilih untuk mengunci mulut sebab saya tak nak menutup periuk nasi individu itu walaupun sekarang ini saya sudah disenarai hitam. 

“Individu ini memiliki kuasa di sebuah syarikat. Sebelum ini orang disekeliling saya pernah hadapi situasi sama dan ada juga pihak yang minta buat laporan sebab saya ada bukti, tapi saya tidak sampai hati kerana masih fikir masa depannya,” katanya.

Menurut Ruhainies, amalan sogok atau rasuah tersebut boleh merosakkan industri seni dan sebagai pelakon dia tidak mahu menjadikan ia satu budaya ikutan.

“Saya tidak melayan permintaannya sebab saya tak mahu amalan ini berterusan. Walaupun mereka sudah menormalisasikan budaya ini, tapi saya tak nak. 

“Jadi saya perlu menghentikan budaya ini, bukan untuk diri saya saja tapi untuk bakat-bakat dan penerbit baharu yang nak meningkat naik. 

“Lagipun, ia boleh menjadi satu budaya yang tidak sihat dalam kalangan penggiat industri kreatif. 

“Saya pun mungkin tidak lama berada dalam industri seni, jadi saya perlu bertindak dan melindungi penggiat seni yang teraniaya,” ujarnya.

Terdahulu, Ruhainies meluahkan rasa kurang senang dengan budaya rasuah yang bukan sahaja berlaku dalam industri sukan, malah dalam industri seni.

Maya Basir