Tolak Minuman Manis Rahsia Tubuh Menawan Adeline Tsen

Sedar dengan kemunculan ramai bakat baharu di dalam industri lakonan, pelakon Adeline Tsen mengambil inisiatif untuk kekalkan penampilan agar terus tampak menarik di kaca televisyen.

Pelakon berusia 33 tahun ini mengaku menjalani program diet ketat sejak Februari tahun lalu.

“ Sejak setahun lalu, saya berjaya mengurangkan enam kilogram dalam masa sebulan. 

“ Kalau dulu boleh nampak penampilan saya dengan dagu berlapis di tv, sekarang tidak lagi.

“ Saya akan pastikan melakukan 10,000 langkah setiap hari bagi memastikan badan kekal fit dan langsing,” kongsinya kepada XTRA.

Sementara itu, pelakon drama Cinta Non Grata ini menolak minuman manis dan hanya mengambil air suam sejak setahun lalu.

“ Pada awalnya memang susah untuk lakukannya. Siapa yang tak suka air manis kan? Perlahan-lahan saya berjaya lakukannya.

“ Malah juice pun saya akan buat sendiri kerana ada kala air buah yang siap dipek selalunya dicampur gula. Pendek kata saya betul-betul on strict diet. Tak susah pun,” katanya

Dalam perkembangan lain, Adeline yang sering diberikan watak penggoda dan seksi ini memaklumkan bakal mengeluarkan produk tidak lama lagi.

“ Ramai yang tanya bagaimana nak kekal fit dan langsing, saya akan kongsikan lebih lanjut dengan orang ramai kelak. Kemungkinan besar pada April ini, kena tunggu,” akhirinya.

Jangan lupa saksikan lakonan Adeline Tsen dalam drama terbaharu yang kini ditayangkan di TV3 bertajuk Cinta Non Grata setiap Rabu- Jumaat, 9 malam.

Wartawan: SGMS Nanie

SGMS Faida