Tolak Tawaran Hanya Sekadar Isi Watak, Nadhir Nasar Tak Kisah Dilabel Sombong

Pelakon Nadhir Nasar pernah dilabel sombong dan menjelaskan bahawa dirinya memilih watak bagi memastikan dirinya mampu beri lakonan yang berkualiti.

Memetik laporan Kosmo, Nadhir atau nama sebenar Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 27, akan terus mengekalkan prinsip tersebut dan tidak ambil peduli dengan kata-kata negatif.

“Memang ada beberapa produksi yang melabel saya sebegitu seperti cerewet dan sangat memilih.

“Namun saya okey sahaja dengan gelaran sebegitu sebab itu cara saya bekerja iaitu memilih watak yang saya mampu jayakan,” katanya.

Menurutnya lagi, dia menolak tawaran produksi yang hanya memilih dirinya hanya untuk mengisi watak yang tidak memberi impak kepada kariernya.

“Saya tidak boleh bekerja dengan cara sebegitu sebab belum berada di tahap yang mampu menjiwai sebarang watak dalam sekelip mata.

“Ketika ini, fasa saya ialah perlu belajar sesebuah watak dengan mendalam dan mengambil masa untuk menjiwai sepenuhnya,” jelasnya.

Bagaimanapun, dia tidak memilih pelakon untuk bergandingan dalam mana-mana drama atau filem lakonannya.

“Saya tidak memilih pelakon, hanya watak. Tidak akan sesekali memilih siapa yang saya hendak berlakon bersama sebab saya belum layak untuk demand sebegitu.

“Tambahan pula, lebih ramai pelakon yang saya bekerjasama, lagi banyak pengalaman saya timba,” ujarnya.

Maya Basir