Tuah Lagu Dusun, Eylia Menang Besar Di AS!

“Macam tak percaya bila nama disebut sebagai pemenang empat pingat emas,” kata penyanyi muda, Eylia selepas ‘menang besar’ di World Championship Of Performing Arts (WCOPA) 2019 di Long Beach, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Eylia atau nama sebenarnya Eylia Eyre Guntabid ketika ditemui Xtra memberitahu terkejut apabila dapat mengharumkan nama negara di kejohanan pencarian penyanyi terbaik di dunia.

“Saya lihat ramai penyanyi berbakat ketika berada di pertandingan itu. Seramai 72 peserta dari seluruh dunia datang mewakili negara masing-masing.

“Saya dan enam lagi individu terbang ke sana mewakili Malaysia. Bayangkan kami hanya diberi masa satu minit sahaja untuk menyanyikan lagu bagi setiap kategori,” kata Eylia yang membawakan lima buah lagu sepanjang menyertai pertandingan itu.

Menurut Eylia, terdapat lima kategori yang dipertandingkan iaitu R&B, Gospel, World, Open dan Broadway.

“Lebih istimewa saya menyanyikan sebuah lagu Dusun berjudul Rumandawi yang menceritakan kisah tentang puteri kayangan yang jatuh cinta dengan pemuda biasa.

“Rata-rata penonton memberikan reaksi positif dan suka dengan persembahan lagu itu. Saya anggap lagu itu juga bawa tuah ketika menyertai WCOPA 2019,” katanya teruja.

Tambah Eylia, kemenangan ini merupakan pencapaian terbesar dalam karier seninya sepanjang tujuh tahun berkecimpung dalam industri seni.

Untuk rekod, Eylia yang berusia 18 tahun ini pernah menyertai program realiti kanak-kanak Ceria Popstar pada tahun 2016 dan berjaya mara ke peringkat separuh akhir.

SGMS Faida