Tular Video Berbusana Pengantin, Ziana Zain Dah Nikah? Ini Penjelasan Pengurus

Tiada angin tiada ribut, penyanyi popular yang merupakan finalis Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38), Ziana Zain didakwa sudah bernikah dengan seorang lelaki bernama Ustaz Taufik selepas tularnya sepotong video pendek memperlihatkan dirinya dalam busana berwarna putih beserta ucapan tahniah daripada seorang jurusolek terkenal tanah air.

Namun, memetik laporan Kosmo, pengurusnya yang dikenali sebagai Alin memaklumkan, video yang dimuat naik oleh jurusolek yang dikenali sebagai @iambobocinta itu hanyalah untuk tujuan promosi sebuah projek yang belum tiba masanya untuk diumumkan.

“Mana ada, Ziana Zain masih single sekarang.

“Dengan Ustaz Taufik memang tiada apa-apa hubungan . Bukan adik mahupun kekasih.

“Dia hanya sekadar peminat yang menjalankan perniagaan agensi Umrah,” katanya.

Difahamkan, bapa Ustaz Taufik pernah menulis lagu untuk penyanyi tersohor itu, bagaimanapun pihak Ziana Zain menegaskan sekali lagi bahawa gosip yang tular mengenai status pelantun lagu Madah Berhelah itu adalah tidak tepat sama sekali.

“Ustaz Taufik ini dahulu bapanya pernah buat lagu untuk Ziana. Tapi, saya tak ingat apa tajuknya. Yang tengah tular itu, janganlah fikir dan tebak yang bukan-bukan.

“Ziana sampai sekarang masih sendiri dan solo. Kalau beliau nak kahwin, tidak akan senyap-senyap (nikah) tanpa pengetahuan orang ramai,” jelasnya.

Justeru, Alin berharap agar peminat di luar sana bertenang dengan spekulasi yang timbul.

“Zaman sekarang, kita (artis-artis lama) pun pandai juga bergimik. Nak tak nak, memang perlu ‘join sekaki’. Orang nak berspekulasi, itu terpulang kepada mereka.

“Peminat Ziana Zain pun tahu gambar itu untuk apa. Bukan kahwin melainkan demi kelangsungan karier,” jelasnya.

Terdahulu, video yang dimuat naik menerusi platform TikTok itu dihujani dengan ucapan tahniah dan pelbagai komen mendakwa penyanyi itu telahpun bernikah.

 

Dalam perkembangan lain, Ziana bakal bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu 38 bersama Hasif Upin membawakan lagu Waktu yang bakal berlangsung pada 3 Mac ini.

Sumber: Kosmo, TikTok

Salma Syahbuddin