Tunai Hasrat Sahabat, Ramli Sarip Gegar Pentas IB Tahun Depan!

Datuk Ramli Sarip yang kini berusia 67 tahun ketika ditemui semasa sidang akhbar konsert Kembara bersama Ella mengatakan dia sangat bersyukur dikurniakan umur yang panjang, semangat, kesihatan yang baik dan kekuatan fizikal untuk masih terus berkongsi karyanya bersama peminat-peminat. Pejam celik pejam celik sudahpun hampir 50 tahun penyanyi bersuara garau ini berada di dalam industri muzik!

Konsert yang diberi nama Kembara Kita itu akan menemui peminat dua penyanyi rock gergasi ini pada 14 dan 15 Februari depan bertempat di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

“Mengimbau kembali pada zaman saya terbabit dalam penerbitan album Ella dahulu iaitu Pengemis Cinta (1989), Puteri Kota (1990) dan Identiti (1991) merupakan satu perjalanan yang manis, dan proses rakaman berjalan dengan begitu lancar sekali. 

“Ella juga masih kekal popular dan diterima baik oleh peminat-peminatnya dari dahulu sehingga sekarang. Kepada karyawan timur, kadang-kadang bila dah meningkat usia mulalah terfikir nak ‘retire’ tapi dalam seni suara ini, selagi diberi kesihatan dan hayat yang panjang, kita masih boleh berkarya dan buat yang terbaik kerana peminat masih akan menerima kehadiran kita dan sentiasa memberi dorongan, semangat dan doa,”  kata Ramli pada wartawan Xtra.

Ramli menjelaskan sudah menjadi tanggungjawabnya dirinya dan Ella untuk memberi aspirasi atau inspirasi kepada pemuzik dan penyanyi-penyanyi muda supaya bertahan mengharungi dunia digital yang penuh dengan cubaan. 

Datuk Ramli Sarip dan Allahyarham ‘Aji’

Kata Ramli lagi idea untuk berkolaborasi dengan Ella di dalam sebuah konsert datangnya dari pemuzik tersohor, Allahyarham Aji atau nama betulnya Fauzi Samin.  Mereka sempat membincangkan idea untuk merealisasikan kembara seni Ramli dan Ella di atas satu pentas sebelum Allahyarham kembali ke Rahmatullah tahun ini. 

Menurut Ramli, keseluruhan konsert akan memakan masa dalam dua jam setengah dan lebih kurang 25 lagu akan didendangkan secara total tetapi masih belum jelas berapa lagu yang akan dinyanyikan penyanyi kelahiran Singapura ini kerana dia masih melihat ‘feel’ konsert nanti.

“Adalah tanggungjawab kita sebagai penggiat seni untuk berani, yakin dan tulus dalam berkarya..walaupun diri tak sihat.  

“Jaga permakanan dan makan makanan yang seimbang, pilih gaya hidup yang sihat dan buat senaman, selain dari berdoa,” jawab Ramli apabila diaju soalan oleh wartawan yang mengimbas insiden penyanyi itu meneruskan persembahan walaupun sedang demam panas satu ketika dahulu.

Apabila ditanya oleh wartawan Xtra sama ada dia menulis lagu untuk artis-artis lain, Ramli menjawab ‘tidak’.  

“Buat masa ini saya tidak ada menulis lagu untuk artis-artis lain tetapi ramai artis muda yang ingin berkolaborasi dengan saya. Mungkin mereka teringin nak menyanyi dengan penyanyi purba!” ujarnya sambil berseloroh.

Penyanyi kelahiran Singapura ini juga menyuarakan  keinginan untuk membuat ‘showcase’ untuk menghiburkan 700-800 orang penonton dalam satu suasana santai dia mana peminat-peminatnya boleh duduk menikmati makanan sambil mendengar lagu-lagu yang dimainkannya.

Bagi sesiapa yang rindu melihat Papa Rock beraksi, bolehlah menonton Konsert Kembara Kita pada 14 dan 15 Februari depan ya? 

Sumber foto: Instagram @ramlisaripofficial

Del14