Universal Music Malaysia Tolak Keganasan, Bersifat ‘Neutral’… Syukur Artis Naungan Tak Diboikot Peminat Muzik

Pihak Universal Music Malaysia tampil menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan Universal Music Group (UMG) di Instagram, baru-baru ini mengenai kecaman terhadap kerajaan Hamas.

Bercakap kepada XTRA, Pengarah A&R dan Pemasaran Universal Music Malaysia, Hermond Cheng berkata, kenyataan yang dikeluarkan itu adalah kenyataan lama.

Tegasnya lagi, pihaknya berpendirian menentang keganasan serta mahukan keamanan dan kedamaian dalam sesuatu konflik.

“Sebenarnya kenyataan tersebut adalah kenyataan yang lama. Bagi kami, kami neutral.

“Di bawah kenyataan tersebut, kami menyatakan tidak menyokong mana-mana bentuk peperangan.

“Kami hanya sebarkan muzik dan mahu aman damai,” jelasnya kepada pemberita.

Hermond ditemui pada parti pra-dengar eksklusif album New Classic Dolla di pejabat Universal Music Malaysia, Menara Symphony, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Hermond juga bersyukur apabila artis dibawah naungan Universal Music Malaysia tidak menerima sebarang tempias boikot.

“Tak perlulah (boikot). Semua orang juga mencari rezeki sendiri. Kenapa perlu berbuat demikian?

“Jika baca baik-baik, ia bukanlah bertentangan. UMG tidak menyokong mana-mana peperangan atau negara. Tiada peperangan dan kami berkecuali.

“Apa yang kami mahukan ialah keamanan. Syukur setakat ini artis kami tidak diboikot peminat,” tutupnya.

Terdahulu, pihak UMG dalam satu kenyataan dimuat naik dalam media sosial menghentam perjuangan Hamas dengan menyifatkan tindakan mereka sebagai ‘barbarik’.

Isu tersebut juga mendapat perhatian penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berpendapat pendirian syarikat rakaman Universal Music Malaysia dan Universal Music Group (UMG) adalah tidak sama mengenai kenyataan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak Sama Pendapat Dengan Universal Music Group, Siti Nurhaliza Teguh Pendirian Tetap Pertahankan Palestin

Khairil Khusyairi