“Untuk Berkawan Baik Itu Mungkin Tidak…,” – Pintu Hati Nurul Shuhada Buat Hafidz Roshdi Sudah Tertutup

Kemelut rumah tangga pelakon Hafidz Roshdi dan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri sehingga kini masih belum terlerai.

Shuhada ketika ditemui di Mahkamah Syariah Shah Alam sebentar tadi memaklumkan dia sudah bersedia untuk berpisah serta menerima segala keputusan dengan hati terbuka.

“Ini semua takdir, saya berserah semua keputusan kepada pihak mahkamah. Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan segalanya, lembutkan lidah dan lancarkan lisan untuk memberi keterangan.

“Saya nak habiskan perkara ini dengan cepat sebab saya nak selesaikan persekolah anak anak yang tak dapat daftar ke sekolah sebab belum ada surat sah cerai, jadi kes ini berterusan,” katanya.

Hafidz dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan Shuhada telah berkali-kali meminta cerai terhadapnya, namun jelas ibu anak dua ini punca penceraian berlaku adalah atas kemelut yang dihadapi rumah tangga mereka.

“Kalau hidup dengan suami akan dia dibelai, disayang, dikasihi oleh suami sendiri. Punca itu sendiri daripada dia (Hafidz). Dia juga dah mengaku sendiri kan akan buat pengakuan tentang hubungan dia dengan Athirah,” tuturnya.

Disoal sama ada Shuhada masih menyimpan perasaan kepada Hafidz, ibu anak dua ini berkata hatinya sudah tertutup buat suaminya itu.

“Saya memang dah tiada rasa kepada dia. Semua ini atas pilihan dia, dia yang pilih bukan saya.

“Untuk menjadi kawan baik dengan dia itu, mungkin tidak sebab saya tak percaya seorang suami sanggup tumbuk saya hanya kerana perempuan lain,” ujarnya.

Pada pagi tadi, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, menangguhkan keputusan lafaz cerai luar mahkamah antara pelakon, Hafidz dan isteri, Nurul Shuhada 27 Julai depan.

Keputusan tersebut dilakukan oleh Hakim Syarie Siti Rahmah Hussin yang akan menilai semula kenyataan bertulis kedua-dua belah pihak sebelum membuat keputusan pada 27 Julai ini.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor.

Terdahulu, Hafidz dan Shuhada telah memfailkan cerai di mahkamah pada 27 Februari lalu.

Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.

Kredit foto: Harian Metro, Faiz Anuar

Aqilah Paharuzi