Tulang Belakang Himpit Saraf, Ibu Harris Anuar Terpaksa Melalui 2 Kali Pembedahan Gara-Gara…

Pelakon Harris Anuar memberitahu ibunya yang merupakan usahawan kosmetik iaitu Zaiton Hassan atau Kak Ton selamat menjalani pembedahan kedua gara-gara masalah tulang belakang, pada Sabtu lalu.

Memetik laporan mStar, pembedahan tersebut merupakan kali kedua selepas pembedahan pada September tahun lalu tidak memberi hasil yang baik dan ibunya masih mengadu kesakitan.

Susulan itu, dia bersyukur pembedahan itu telah selamat malah Kak Ton sudah dibenarkan pulang ke rumah.

“Sebelum ini dah pernah buat pembedahan tapi tidak berapa berkesan. Jadi pembedahan kedua perlu dilakukan dengan menggunakan khidmat pakar yang lebih baik.

“Sekarang Alhamdulillah ibu saya sudah pun dibenarkan pulang dan sedang berehat di rumah,” ujarnya.

Menurut Harris, masalah tulang belakang yang dialami ibunya berpunca daripada terjatuh beberapa kali dan meninggalkan kesan jangka panjang.

Disebabkan perkara itu, tulang belakang ibunya menghimpit saraf yang membuatkan kakinya kerap berasa kebas.

“Ibu saya boleh jalan seperti biasa tetapi tidak boleh berdiri terlalu lama dan masih boleh berniaga dengan buat live di TikTok.

“Cuma pergerakkannya agak terbatas dan ia sedikit sebanyak menganggu urusan hari yang lain,” katanya.

Terdahulu, Harris berkongsi keadaan Kak Ton dimasukkan ke hospital namun tidak menjelaskan secara terperinci tentang punca sakit.

Maya Basir