Usia Kandungan Sudah Mencecah 7 Bulan, Wany Hasrita Teruja Menanti Kehadiran Anak Pertama!

Penyanyi Wany Hasrita tampil memaklumkan dirinya bakal melahirkan cahaya mata sulungnya dan menjalani proses berpantang di Kuala Lumpur.

Menurut Wany, usia kandungannya kini sudah mencecah 7 bulan dan bakal melahirkan anak pertamanya itu pada Julai ini.

“Alhamdulillah, saya sihat dan bayi sudah menjengah usia 31 minggu. Insya-Allah, saya akan melahirkan anak ini, Julai depan.

“Insya-Allah selepas berfikir, saya akan melahirkan anak ini di ibu negara. Sepatutnya, di Kuching kerana mudah bagi suami tidak perlu bercuti lama.

“Namun, selepas meneliti perancangan, akhirnya suami boleh ambil cuti sebulan. Jadi, dapatlah suami jaga saya sepanjang tempoh itu,” katanya.

Memetik laporan Berita Harian, Wany juga sempat berkongsi tentang proses kehamilan sepanjang berjauhan dengan suaminya, Mohd Al-Adib Fahmi Harun yang kini berada di Sarawak.

Bertanya mengenai dirinya melalui proses kehamilan jauh dari suami, Wany bersyukur dapat menghadapinya dengan baik dengan bantuan ibu.

“Saya bernasib baik ada ibu bersama saya. Dari awal saya sudah diterapkan proses kehamilan ini tidak senang dan tidak juga sukar… Semuanya bergantung kepada diri dan mental sendiri.

“Apabila susah, saya cuba senangkan. Jadi, semuanya berbalik kepada diri sendiri. Sedih memang sedih, namun, kena hadapi.

“Pasti ada kala emosi tidak stabil, tetapi saya tidak mahu susahkan suami, nanti emak pun risau. Alhamdulillah, saya tidak meroyan,” jelasnya.

Selain itu, Wany juga menyatakan dirinya sudah biasa berjauhan dengan suami dan tidak menolak sebarang kemungkinan sekiranya perlu berulang-alik ke Sarawak bersama anaknya nanti.

“Berpindah ke Kuching, jujurnya, soalan susah buat saya. Tetapi kehidupan ini sentiasa dalam perancangan, macam kita merancang, tapi akhirnya kena tukar,” katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Canggung itu juga menyatakan dia bersama suaminya masih lagi berbincang tentang nama yang bakal diberikan kepada cahaya mata mereka.

“Nama masih dalam perbincangan. Saya pilih nama ringkas. Insya-Allah, pilihan sudah ada tetapi belum ditetapkan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Fatin Nurain