[VIDEO] Anak Rimau The Movie Suntik Semangat Patriotisme, Bakal ‘Mengaum’ Di Pawagam Pada 1 September 2022!

Filem berkonsepkan perlawanan bola sepak sudah tidak asing lagi dalam negara kita. Kira-kira lebih 10 judul filem berkaitan bola sepak telah diterbitkan dalam industri perfileman tanah air antaranya Ola Bla, Bola Kampung (Animasi) dan Gila Bola.

Kini, muncul filem terbaru berjudul Anak Rimau The Movie hasil terbitan Keeklr Films Sdn Bhd dengan Kerjasama Al-Ikhsan Sports dan Majlis Sukan Negara (MSN) menampilkan anak-anak remaja daripada Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari.

Menurut penerbitnya, Fadzil Manap, filem arahan Areel Abu Bakar ini telah menelan kos sebanyak RM5.5 juta.

“Bajet untuk pembikinan Anak Rimau besar sebab ramai pelakon, terutamanya untuk dalam stadium sebab nak nampakkan suasana sebenar.

“Filem ini tidak ada penggunaan Computer-Generated Imagery (CGI) dan penggambaran 95% dibuat di Pahang.

“Filem ini tidak ada kena mengena dengan biografi mana-mana pemain bola.” Jelasnya yang mendapat idea menghasilkan filem Anak Rimau pada April 2018.

Mengulas lebih lanjut, Fadzil berkata anak-anak remaja dalam filem ini bukanlah lahir daripada bidang lakonan, difahamkan mereka adalah pemain bola sepak yang sangat bagus.

“Anak-anak muda dalam filem ini bukan pelakon tapi mereka pemain bola yang sangat lincah dan pelapis masa depan.

“Kami harus siapkan program Latihan lakonan dengan Fatimah Abu Bakar yang berjaya membentuk bakat-bakat terpendam mereka dalam menghafal dialog, bermain emosi dengan watak-watak mereka,” ujarnya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai filem ini, Fadzil menjelaskan semangat patriotisme diselitkan setanding dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara, harapannya agar semua penonton dapat menjiwai serta mengambil inspirasi.

“Filem ini adalah sebuah filem yang penuh dengan drama, adegan lucu, inspirasi dan sarat dengan mesej yang kami harap mampu memberi impak positiff kepada penonton tentang pentingnya semangat berpasukan dan dorongan keluarga dalam mencapai cita-cita.

Unsur perpaduan dan nasionalisme dalam filem ini sesuai dengan tarikh tayangan 1 September 2020, sesuai dengan suasana ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-65 tahun,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis ‘soft-launch’ filem Anak Rimau beserta pelancaran koleksi rasmi, lagu tema dan muzik ideo filem yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia & sukan, Senator Datuk Sri Ti Lian Ker di premis Al Ikhsan Sports, The Curve, baru-baru ini.

Koleksi merchandise Anak Rimau direka cipta oleh Al-Ikhsan Sports termasuk jersi, kemeja-T, seluar, topi, lanyard, topeng muka dan botol air dengan reka bentuk esklusif boleh didapati di semua cawangan terpilih premis tersebut.

Anak Rimau akan ditayangkan pada 1 September 2022 di 55 buah pawangam yang bakal menampilkan bintang ternama seperti Beto Kusyairy, Azhan Rani, Adam Corrie, Idan Aedan, Kechikimi dan ramai lagi.

Pada majlis sama, lagu tema rasmi dan muzik video Anak Rimau iaitu ‘Pentas Dunia’ hasil nukilan Bajai dan Amylea Azizan, serta dinyanyikan oleh Idan Aedan, Kechikimi, Hanz Skelchy, Omar Dannyal, Joel Law dan Hakeem Sufian turut dilancarkan.

Aqilah Paharuzi