[VIDEO] Anne Ngasri Terharu Dengan Kemenangan Bell, Syukur Doa Rakyat Malaysia Termakbul – “Terima Kasih Support Kami Sekeluarga”

Pelakon Datin Anne Ngasri meluahkan rasa syukur apabila abangnya, Bell Ngasri merangkul kejayaan menerusi kemenangan di pentas Anugerah Bintang Popular BH Ke-35 (ABPBH35) baru-baru ini hasil daripada doa rakyat Malaysia.

Anne atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri, 39, yang baru dikuriakan Darjah Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baru-baru ini turut gembira apabila peminat sentiasa mendoakan kejayaan mereka.

“Bukan doa saya termakbul tetapi seluruh doa rakyat Malaysia.

“Saya lihat ramai turut mendoakan kejayaan Bell di media sosial yang mengatakan ‘hari ini hari saya, esok pula hari abang saya’.

“Alhamdulillah termakbul. Sama-sama kita mensyukuri apa yang diberikan. Insya-Allah kita sentiasa istiqamah dalam melakukan yang terbaik,” katanya kepada XTRA ketika ditemui, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Anne tetap bersemangat hadir pada malam kemuncak ABPBH35 yang berlangsung di Istana Budaya biarpun baru sahaja selesai bekerja demi memberi sokongan kepada abangnya itu.

“Saya bersemangat untuk turut hadir ke Istana Budaya. Saya terus datang selepas kerja dengan berpakaian tidak mengikut protokol.

“Saya sangat hargai dan semestinya tak sabar nak tunggu dan peluk dia. Terima kasih kerana menyokong perjalanan karier seni kami sekeluarga.

“Kami hanya mampu doa dan selalu membuat yang terbaik untuk semua orang, Insya-Allah,” ujarnya.

Malam kemuncak ABPBH35 menyaksikan Bell Ngasri diangkat sebagai Bintang Paling Popular, ABPBH35 selepas 37 tahun bergelar anak seni.

Pada malam tersebut, Bell turut merangkul trofi bagi kategori Artis Komedi Popular.

Khairil Khusyairi