[VIDEO] Awal Ashaari Dedah Pernah Jadi Pembaca Berita – “Saya Pembaca Berita Pertama Yang Pakai ‘Braces’ & Rambut ‘Highlight'”

Sosok figura pelakon dan pengacara popular, Awal Ashaari di kaca televisyen (TV) barangkali tidak asing lagi. Sering kali muncul sebagai pengacara program dan juga model iklan baik untuk TV, majalah dan surat khabar.

Awal atau nama lengkapnya Ahmad Awaluddin Ashaari juga pernah mencuba nasib sebagai penyampai berita di stesen 8TV suatu ketika dahulu sebelum beralih arah ke dunia lakonan.

Bekas pengacara program hiburan TV3, Melodi itu mendedahkan dia pernah menjawat jawatan tersebut selepas menamatkan pengajian dalam bidang penyiaran.

“Saya terjebak di kaca TV melalui berita. Saya merupakan pembaca berita di 8TV ketika itu.

“Saya tak tahu apa lagi ketika itu, saya pula graduan jurusan penyiaran jadi memang dah sebati dengan dunia penyiaran.

“Bila saya dapat peluang itu, saya ambil peluang itu walaupun tiada pengalaman. Tiada halangan dan jadilah saya sebagai pembaca berita,” kongsi Awal.

Lebih menarik, Awal turut mendedahkan penampilannya ketika itu membuatkan dia tidak yakin untuk menjadi penyampai berita kerana memakai pendakap gigi dan imej rambut berwarna.

“Apa yang menariknya ketika saya bertugas, rambut saya pada masa itu berwarna ataupun ‘highlights’. Saya bertanya kepada pihak produksi, ‘macam mana saya nak jadi penyampai berita?’

“Lagi menarik, saya juga memakai pendakap gigi (braces) ketika itu tetapi ia tidak kelihatan sangat. Saya beritahu pada pihak penerbit saya tak boleh lakukan kerana penampilan saya begitu.

“Tapi mereka mahu juga saya jadi pembaca berita dengan penampilan begitu, katanya ia nampak lain daripada lain. Jadi saya adalah pembaca berita pertama yang ada ‘braces’ dan rambut highlights. Malunya,” kongsi Awal lagi.

Kredit: Buletin FM

Khairil Khusyairi