[VIDEO] Berebut Anak, Noh Salleh Dedah 6 Bulan Harungi Tempoh Sukar Selepas Cerai Dengan Mizz Nina

Tular baru-baru ini sebuah rakaman video yang memaparkan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh yang diminta untuk mengulas lima lagu Indonesia yang menjadi kegemarannya.

Namun, apa yang menjadi perhatian adalah Noh atau nama sebenarnya, Muhammad Noh Salleh, mendedahkan dia mengalami tempoh yang sukar selepas bercerai dengan usahawan dan aktivis kemanusiaan, Mizz Nina.

Malah, perebutan anak angkat bernama Musa turut disebut Noh.

Perkara tersebut dimaklumkan sendiri pelantun lagu Angin Kencang itu selepas menyatakan lagu berjudul Manusia nyanyian David Bayu adalah antara kegemarannya.

“Sejak enam bulan lalu saya melalui kehidupan yang sangat sukar.

“Saya bercerai dengan isteri, kemudiannya berebut anak.

“Saya rasa lagu Manusia seakan kena dengan diri saya sebagai seorang manusia yang melalui detik sukar dalam hidup,” kongsi Noh ketika ditemu bual bersama sebuah portal Indonesia.

Untuk rekod, Noh mendirikan rumah tangga dengan Mizz Nina pada 2 Julai 2011, namun bercerai pada Ogos tahun lalu.

Terdahulu, Noh dilaporkan sudah mengikat tali pertunangan dengan wanita dikenali sebagai Fatin Athira Mustapa, Mei lalu.

Manakala, Jun lalu, Mizz Nina tampil mengejutkan ramai apabila mengumumkan dia sudah bernikah bersama jejaka pilihannya yang juga seorang penyanyi rap dan penulis lirik dari Seattle, Amerika Syarikat (AS) berketurunan Maghribi, Essam Muhammad.

ARTIKEL BERKAITAN: Noh Salleh Sah Bertunang Dengan Peguam, Bakal Bernikah Pada 23 September Ini

ARTIKEL BERKAITAN: Saling Melengkapi, Mizz Nina Sah Berkahwin Dengan Penyanyi Rap – “Kami Dedikasi Hidup Untuk Dakwah”

Khairil Khusyairi