[VIDEO] “Jangan Balas Dendam Ya… Saya Sayang Malaysia & Singapura” – Aaron Aziz Mohon Semua Bersabar

Pelakon, Aaron Aziz tampil bersuara berhubung ujian melanda pasangan pelakon, Uqasha Senrose dan Kamal Adli ketika berada di sebuah ekspo bertempat di Singapura.

Turut berdukacita atas kemalangan yang dihadapi oleh Kamal akibat diserang individu tidak dikenali, Aaron menerusi sebuah video secara langsung memohon orang ramai untuk bertenang dan tidak balas dendam.

“Saya tak nak kes ini jadi lebh besar sehingga nanti artis Singapura kalau datang Malaysia kena pukul balik. Saya cuma nak minta semua kawan-kawan di Malaysia, tolong jangan marah marah dan jangan balas dendam sekiranya ada artis Singapura datang Malaysia.

“Saya cuma berharap semua pihak untuk bersabar dan jangan sesiapa ada sikap balas dendam… Mungkin ada peminat Kamal ada niat nak balas dendam atau apa, janganlah.. fikirkan keluarga anda nanti korang yang susah,” katanya.

Mengulas mengenai niat sebenarnya membuat video berkenaan, pemenang anugerah pelakon lelaki terbaik Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) ini berkata dia hanya tergerak hati untuk bersuara kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan antara rakyat Malaysia dan Singapura.

“Saya cuma nak buat damage control saja.. nak amankan keadaan. Ramai juga artis Singapura yang bermaustautin di Malaysia. Saya tak nak ada apa-apa issue.. Saya minta maaf bagi pihak sana, tetapi perkara ini memang sangat sensitif.

“Saya tergerak hati untuk bersuara sebagai seorang abang dan umat Islam. Saya bukan nak masuk campur atau tunjuk pandai. Saya tak nak ada selisih faham antara artis Malaysia dan Singapura. Kami adalah selebriti yang kadang-kadang ke negara lain hanya untuk mencari rezeki dan berjumpa peminat.

“Jangan hanya kerana seorang Singaporean yang buat salah, kita sampai menghukum semua. Saya neutral. Saya sayang industri Malaysia dan Singapura. Sebagai orang tengah, saya cuma tak nak kita bergaduh.

“Sebenarnya ada pihak yang menghalang saya untuk tidak buat live ini. Tapi, saya cuma membantu mereka apa yang saya boleh sebab mereka dalam keadaan taruma. Ini bukan soal gangster, ini tentang tolong sesama kawan,” jelasnya.

Di kesempatan itu, Aaron turut berkongsi rasa sebak yang dilalui oleh Uqasha keseorangan berada di Singapura dan mendoakan agar aktres ini dalam perlindungan Sang Pencipta.

“Saya faham apa yang Uqasha dan Kamal sedang lalui. Hari pertama saya bertapak di Malaysia sebatang kara, tiada siapa yang membantu. Selama tiga tahun bersusah payah. Saya faham perasaan Uqasha berada dalam keadaan ketakutan, keseorangan.

“Saya dan Uqasha ada berkomunikasi soal perkara ini dan saya mendoakan juga buat Kamal, meskipun kami tak rapat tapi dia seorang yang sangat baik.

“Saya sedih dengan ujian yang menimpa mereka. Untuk Uqasha, doa semoga diberi perlindungan daripada Allah SWT.. Allah adalah pelindung sebaik-baiknya untuk kita,” ujarnya.

Terdahulu, pendedahan pelakon Uqasha Senrose yang memaklumkan suami tercintanya, Kamal Adli cederah parah di bahagian kepala akibat diserang oleh individu menggunakan alatan cota.

Aktres Rindu Awak Separuh Nyawa itu turut mendedahkan pernah menerima mesej ugutan daripada individu tidak dikenali.

ARTIKEL BERKAITAN: Kamal Adli Berlubang Kepala Diserang Individu Tak Dikenali, Uqasha Senrose Dedah Kejadian Sebenar – “Dia Pukul Berkali-Kali…”

ARTIKEL BERKAITAN: Update Status Terkini Kamal Adli, Uqasha Senrose Serah Kes Pada Pihak Polis – “Harap Semua Doakan Keselamatan Kami…”

Aqilah Paharuzi