[VIDEO] “Masalahnya Halal Ke?” – Nora Danish Makan Di Restoran Gordon Ramsay Undang Perbalahan Netizen

Pelakon jelita, Nora Danish sekali lagi menjadi perbualan netizen selepas memuat naik beberapa foto sedang menikmati juadah di restoran cef terkenal antarabangsa, Gordon Ramsay Bar & Grill.

Nora berkongsi momen makan malam bersama keluarganya menerusi hantaran terkini di Instagram miliknya dan ia telah mengundang pelbagai reaksi netizen.

Hantaran terbabit memaparkan Nora mencuba salah satu menu terkenal chef tersebut iaitu Beef Wellington, daging import yang disaluti cendawan dan dibalut dengan pastri sehingga warnanya menjadi perang keemasan.

“Pertama kali makan di @gordonramsaybarandgrillkl. Makanan sedap. Highlight kami adalah steak tartare, beef wellington, yumms! Oh yes scallop sedap juga, dan tiram,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Tinjauan di ruangan komen hantaran tersebut dibanjiri dengan pertanyaan netizen yang mempertikaikan status halal restoran itu kerana hidangan menu daging itu disertakan sekali bersama sos wain merah.

Namun begitu, berdasarkan foto yang dimuat naik, anak sulung Nora, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram sedang menikmati menu tersebut tanpa meletakkan sos wain itu.

Ramai dalam kalangan mereka yang memohon aktres Puteri itu untuk memeriksa sijil halal sesuatu kedai terlebih dahulu atas pengaruhnya sebagai seorang pelakon.

Di ruangan komen ada yang menjelaskan bahawa restoran tersebut tidak mempunyai sijil halal dipercayai kerana menghidangkan alkohol.

Bagaimanapun, difahamkan restoran ternama ini tidak menghidangkan makanan berasaskan daging khinzir di dalam menu mereka.

Malah, menurut laporan daripada portal Have Halal Will Travel, semua bahan mentah seperti daging dan bahan masakan diperoleh daripada pembekal yang berstatus halal.

Aqilah Paharuzi