[VIDEO] Sempoi Habis! Gelagat KJ Menari Dengan Team Bekpes Hot Buat Netizen Terhibur – “Dah Tak Keras Dah”

Bekas menteri kesihatan yang juga penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin mencuri perhatian apabila tular sebuah video yang memaparkan dia menari.

Menerusi perkongsian di media sosial Hot FM, Khairy atau lebih mesra disapa KJ ternyata bersikap ‘sporting’ apabila membuat rakaman video menari bersama team Bekpes Hot iaitu AG, Fara Fauzana dan Johan di dalam konti.

Video berdurasi 17 saat itu memaparkan keempat-empat penyampai radio itu sedang gigih menari bersama mengikut rentak lagu yang digunakan.

Apa yang mencuit hati adalah kegigihan dan kesungguhan KJ untuk turut menari bersama membuat netizen berasa lucu biarpun tarian tersebut hanya menggerakkan kaki dan badan sahaja.

“Makin rosak lah aku,” komen KJ di ruangan komen.

Terdahulu, netizen berseloroh apabila mengatakan KJ kekok dan ‘keras’ apabila membuat video menari bersama.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberikan pelbagai reaksi terhadap perkongsian lucu tersebut. Malah ada juga menyatakan lenggok badan KJ sungguh lembut dan tidak keras lagi.

Sehingga artikel ini ditulis, perkongsian tersebut telah tular di TikTok sehingga meraih lebih 1.7 juta tontonan.

Untuk info, KJ telah mula berkhidmat di Hot FM bagi mengendalikan segmen Bekpes Hot bersama AG, Fara Fauzana dan Johan sejak 14 Februari lalu.

Khairil Khusyairi