[VIDEO] Terima Gangguan Seksual Bertubi-Tubi & Jadi Mangsa Scam, Zara Zya Buat Laporan Polis

Pelakon Zara Zya membuat laporan polis selepas terdapat dua individu yang tidak bertanggungjawab mengganggu kehidupan peribadinya.

Katanya, dua individu itu membawa kepada dua kesalahan berbeza iaitu menggunakan nama dan fotonya dalam urusan penipuan atau scam melibatkan pelaburan dalam talian Facebook.

“Saya telah mengambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan polis ke atas 2 individu .

“Seorang yang terlibat menggunakan nama dan gambar saya dalam penipuan/scam pelaburan didalam talian Facebook (Kerja Kosong Ipoh 2023) baru baru ini,” katanya.

Manakala, seorang lagi individu yang dimaksudkan adalah individu yang telah melakukan gangguan seksual terhadapnya iaitu secara lisan termasuklah menghantar gambar-gambar tidak sopan serta sering membuat panggilan berunsur lucah terhadapnya.

Menurutnya, tindakan individu itu sekaligus membuatkan emosinya terganggu sejak beberapa bulan lepas serta menimbulkan ketakutan.

“Laporan polis juga telah dibuat ke atas individu yang telah melakukan “sexual harrasment” ke atas saya dengan gangguan secara lisan, hantaran gambar-gambar tidak sopan dan juga panggilan yang bertubi tubi setiap malam yang mengganggu emosi saya.

” Gangguan ini berlarutan sejak beberapa bulan lepas dan menimbulkan ketakutan dan kebimbangan pada saya,” jelasnya.

Zara berkongsi mengenai perkara itu menerusi hantaran terkini di Instagram miliknya pada Sabtu.

 

Dalam pada itu, pelakon yang popular menerusi drama Risik Pada Hati ini turut berterima kasih kepada pihak berwajib kerana telah mengambil keterangannya dan dia berharap agar tindakan lanjut dapat diambil terhadap dua individu tersebut.

“Terima kasih pada pihak PDRM kerana telah mengambil keterangan saya dan saya berharap tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pelaku pelaku ini,” ujarnya.

Salma Syahbuddin