Wan Raja Terkejut Dengar Berita Vanessa Angel Ditahan Polis

Pelakon Wan Raja mengakui terkejut dengan berita penahanan pelakon Vanessa Angel yang merupakan gandingannya dalam filem Tuju-Tuju dan Kolong yang bakal keluar tidak lama lagi.

Wan Raja ketika ditemui di sidang media teater Dari Cherok Tok Kun Ke Gombak memaklumkan dia mendapat tahu berita itu menerusi kumpulan WhatsApp yang diwujudkan di kalangan krew dan pelakon filem berkenaan.

“ Dia seorang yang profesional di set dan saya tiada masalah bergandingan dengannya.

“ Pada awalnya saya tidak tahu menahu mengenai berita penahanan Vanessa sehinggalah salah seorang daripada ahli group WhatsApp meletakkan pautan link mengenai berita itu. Jujurnya saya memang terkejut. Apa yang lebih mengejutkan, Vanessa juga ada di dalam group WhatsApp itu,” katanya kepada XTRA.

Enggan masuk campur dalam hal peribadi Vanessa, Wan Raja berharap agar insiden ini dijadikan pengajaran oleh penggiat seni lain.

“ Tugas kita hanya perlu berhenti mengecam antara satu sama lain. Semua orang melakukan kesilapan. Kita doakan yang baik-baik untuk orang lain, Insya Allah doa itu akan berbalik kepada kita kembali,” katanya.

Terdahulu, pelakon Vanessa Angel telah ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran dalam talian.

SGMS Faida