Categories: Hiburan

Warganet Puji Kemerduan Suara PU Riz Alun Potongan Surah al-Anbiya

Video bacaan ayat al-Quran yang dialunkan oleh pendakwah selebriti popular, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 29 meraih pujian pengguna internet.

Menerusi video yang dimuat naik, PU Riz membaca potongan Surah al-Anbiya ayat 89 hingga 90 beserta maksudnya.

Menurut PU Riz, bacaan itu sebagai peringatan buat semua yang mana ketika membaca quran perlu juga mengetahui maksud ayat itu.

“Membaca al-Quran satu cara yang boleh menenangkan jiwa. Apabila membacanya, ia boleh menjadi penawar kepada setiap hati yang sedang mengalami kesedihan, keresahan mahupun kekecewaan.

“Namun, itu bukanlah bermaksud seseorang hanya perlu membacanya apabila dia dilanda keresahan sahaja, tetapi ia perlu dibaca sepanjang masa. Malah, bacaan itu juga hendaklah difahami.

“Disebabkan itu, ulama sering menyebut bahawa satu cara untuk memahami al-Quran adalah dengan membaca beserta maksudnya agar dapat memahami makna yang disampaikan.

“Ada juga bertanya, bagaimana kalau hanya membaca tanpa memahami maknanya? Adakah tetap diberi ganjaran pahala?

“Dalam perkara ini, kita perlu faham bahawa ganjaran pahala diberikan ke atas bacaan dan huruf yang kita baca,” katanya.

Mengenai komen yang memuji kelunakan suaranya, PU Riz yang juga suami kepada selebriti terkenal Neelofa berkata, itu adalah anugerah Allah selain turut belajar dari segi alunan bacaan al-Quran.

“Terima kasih kepada semua yang memberikan komen. Semoga perkongsian saya itu memberi manfaat dan kebaikan buat kita semua.

“Diharapkan perkongsian ringkas sebegini membuka satu lagi lembaran baharu yang positif dalam diri kita semua di tahun baharu ini,” katanya.

Menerusi hantaran lain PU Riz turut berkongsi bacaan daripada Surah an-Nasr ayat 1 hingga 3.

Padin