Yasin Sulaiman Diarah Bela Diri Babitkan Tiga Tuduhan Kes Dadah

Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman akhirnya diarah membela diri atas tiga tuduhan kes dadah membabitkan dirinya pada Selasa.

Menurut Hakim, Faiz Dziyauddin, dia membuat keputusan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes mereka di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

“Seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan dan mahkamah meneliti serta mempertimbang keterangan saksi terbabit secara maksima.

“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dan oleh itu, tertuduh dipanggil untuk membela diri bagi ketiga-tiga pertuduhan,” katanya.

Selain itu, Yasin juga diberi tiga pilihan iaitu memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi, memberi keterangan dari kandang tertuduh atau berdiam diri.

Bagaimanapun, penyanyi itu memilih untuk berdiam diri pada prosiding bela diri yang terus bermula pada hari sama.

Memetik laporan Berita harian, sebelum mahkamah membuat keputusan tersebut, Yasin ketika ditemui pihak media sempat meminta untuk mendoakannya dan berterima kasih kepada mereka yang datang.

Terdahulu, Yasin atau nama penuhnya, Muhammad Yasin Sulaiman, 48, didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.

Malah, dia juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup serta tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hospital Bahagia Sahkan Yasin Sulaiman Tidak Waras Ketika Kejadian Kes Dadah

ARTIKEL BERKAITAN: Kesihatan Yasin Sulaiman Semakin Baik Selepas Masuk Hospital Bahagia – “Sebelum Ini Hanya 48 kg, Cengkung Sampai Nampak Tulang”

ARTIKEL BERKAITAN: Sebutan Kes Ditangguh 6 Julai, Yasin Sulaiman Masih Di Hospital Bahagia

 

Sumber: Berita Harian

Salma Syahbuddin