‘Sumpah Itu Bukan Punca’- Zara Zya Jawab Dakwaan Jalani Hubungan Sejenis

“Tak tahu kenapa dia berbuat sedemikian. Saya pun tanya kepada dia kenapa muat naik video itu,” komen pelakon Zara Zya yang menyangkal dakwaan hubungan sejenis penyebab dia putus tunang dengan Hafreez Adam, bulan lalu. 

Perkara itu timbul selepas tersebarnya empat video Instagram Stories yang memaparkan perbualan mesej di aplikasi WhatsApp di antara Zara dengan wanita itu sejak semalam.

Memetik laporan Harian Metro, Zara menafikan dakwaan berkenaan dan memberitahu dia dan wanita itu hanya kawan baik.

“Ada pihak yang sengaja memperbesarkan isu putus tunangnya. Sumpah perkara itu bukan puncanya. Kami cuma berkawan. Paling penting, saya bukan ke arah itu (hubungan sejenis). Orang lain pun mesti pernah menghantar mesej sayang dengan kawan perempuan kan?” katanya.

Dalam masa sama, Zara menyifatkan tindakan penyebaran video itu sebagai alasan untuk menghangatkan isu putus tunang mereka.

“Sekarang orang sengaja mencari isu. Bagi saya perkara ini benda kecil saja,” katanya.

Sementara itu, Hafreez ketika dihubungi turut menafikan wanita dan video itu sebagai punca perpisahan mereka.

“Saya tak putus dengan dia sebab video ini. Saya tak rasa dia seperti itu (hubungan sejenis). Sepanjang dengan Zara, dia sangat manja dan tak pernah tengok dia berkelakuan pelik seperti dalam video itu.

“Tak tahu pula jika ada orang cuba nak perangkap dia. Kalau boleh saya tak nak masuk campur urusan peribadi dia sebab dia bukan tunang saya lagi,” katanya.

Terdahulu, Hafreez mengesahkan sudah putus tunang dengan Zara sejak bulan lalu iaitu selepas sebulan bertunang.

Pasangan yang mula berkawan sejak berlakon dalam drama Mona Lisa pada 2017 itu mengikat tali pertunangan pada 12 Oktober lalu.

SGMS Faida