Zee Avi Kembali Menetap Di KL

Bermastautin di luar negara selama hampir 12 tahun, penyanyi Zee Avi mengakui sudah kembali menetap di Malaysia sejak setahun yang lalu.

Katanya yang terkenal dengan lagu Kantoi, dia seronok dapat kembali ke tanah air namun tidak menolak kemungkinan akan kembali berhijrah ke negara lain selepas ini.

“ Saya oranganya ibarat ikut angin. Kalau dibawa ke sini, ke sinilah saya. Saya akui saya suka menetap di pelbagai tempat di mana saya boleh belajar tentang cara hidup orang luar.

“ Lebih-lebih lagi, kita sekarang boleh melakukan kerja di mana-mana sahaja dengan kecanggihan teknologi. Tiada masalah untuk saya tinggal di mana-mana asalkan lokasinya aman,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert International Women’s Day with Zee Avi & NJWA di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Biarpun namanya terkenal di Amerika Syarikat, Zee Avi tidak pernah menggunakan ia sebagai lesen untuk mendabik dada.

“ Saya bangga bergelar rakyat Malaysia dan ke mana saja saya pergi, saya tidak sama sekali melupakan asal usul. Saya pun kadang-kadang hairan bagaimana individu yang tinggal di luar  boleh lupa asal usul. How can they do that ya?

“ Kerjaya seni akan tetap berjalan seperti biasa walaupun saya sudah menetap kembali di sini. Tahun ini juga bakal menyaksikan karier nyanyian bergerak aktif dengan kemunculan dua single termasuklah sebuah lagu Melayu nanti,” akhirinya.

SGMS Faida