Categories: Trending

Kerajaan benarkan syarikat bas naikkan tambang sebanyak 10 peratus sempena Tahun Baru Cina

Adakah anda miliki sebarang perancangan untuk pulang ke kampung pada musim perayaan Tahun Baru Cina ini?

Bagi anda yang akan menaiki bas ekspres dari 1 Februari hingga 10 Februari ini, anda perlu membayar 10 peratus lebih daripada harga tambang biasa.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia, Datuk Mohamad Ashfar Ali, berkata kerajaan telah mengizinkan kenaikan harga ini ketika musim perayaan ini untuk menampung kos operasi tambahan.

Ashfar berkata selalunya akan ada ramai orang dari pusat bandar yang ingin menuju ke kampung halaman, dan mereka akan memilih pengangkutan bas.

“Ini bermakna banyak bas akan pulang ke pusat bandar dengan tanpa seorang pun penumpang. Inilah cara untuk syarikat operasi bas pulih semula dari segi keuntungan.

“Kami bersyukur kerana langkah ini akan mengurangkan beban pengusaha bas,” katanya.

Foto: Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Ashfar berkata, pihaknya berharap kenaikan harga ini akan menjadi insentif bagi syarikat bas untuk menambah jumlah bas demi memenuhi permintaan pengguna yang bertambah.

“Tanpa inisiatif seperti ini, jumlah bas yang beroperasi tidak akan cukup. Sebelum ini kami terpaksa meminta pemandu bas untuk mengambil syif tambahan; kadangkala syarikat bas terpaksa mengupah pemandu tambahan,” katanya.

Bagi membantu syarikat bas membuat anggaran mengenai berapa banyak bas tambahan yang akan diperlukan, Ashfar menasihatkan penumpang untuk membeli tiket awal.

“Kami tidak ingin merosakkan waktu cuti sesiapa atau membantutkan hajat mereka untuk pulang. Kami risau mereka tidak dapat membeli tiket jika mereka tunggu hingga ke saat akhir,” katanya.

Foto: NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

Beliau juga memberi amaran kepada pengguna untuk tidak membeli tiket daripada penjual yang tidak sah.

“Penumpang perlu berwaspada dan terus membuat laporan kepada pihak berkuasa jika pemandu bas yang mereka naiki memandu secara berbahaya,” katanya

Sumber: The Star

Ad Ops