Categories: Hiburan

Ziva Magnolya Kembali Dengan Menanti

Penyanyi wanita muda berbakat Indonesia, Ziva Magnolya kembali melancarkan single terbaru yang berjudul Menanti.

Ia sekaligus menjadi bahagian kedua daripada projek A+Z The Series yang dimulakan dengan pelancaran lagu “Tak Mungkin” oleh KIM.

Menanti merupakan lagu hits yang sebelum ini pernah dipopularkan oleh Dea Mirella dan Kahitna.

“Meskipun pernah dipopularkan lebih dari dua dekad yang lalu, lirik lagu Menanti masih sangat relevan dengan kisah cinta yang terjadi pada zaman sekarang.

“Bukan mudah untuk merakamkan semula kerana lagu ini pernah popular sebelum ini tetapi setelah mencuba sehabis baik, saya jatuh cinta dengan hasilnya,” ungkap Ziva.

Kini di bawah naungan syarikat rakaman Universal Music Indonesia, lagu tersebut diberi nafas baharu untuk dijadikan sebahagian daripada rangkaian projek Yovie & His Friends.

Ia disajikan dalam nuansa baru serta versi yang segar, bercampur harmoni dengan karakter vokal Ziva yang khas.

“Walaupun suasana lagunya sendu, susunannya kedengaran megah dengan harmonisasi beragam bunyian instrumen. Tanpa kehilangan gubahan khas muzik aslinya, saya berharap mampu untuk memberikan keunikan tersendiri pada lagu “Menanti” versi baharu itu melalui riff and runs,” katanya lagi.

Tonton muzik video Menanti di saluran YouTube rasmi Yovie Widianto dan lagunya sudah tersedia di semua platform penstriman digital sejak 11 Ogos 2023 yang lalu.

Padin