Categories: Konsert

Usaha Patahkan Stigma Buskers Membuahkan Hasil, Konsert Bob & Sentuhan Band Diadakan Pada 18 November!

Busker popular, Bob Sentuhan mengumumkan bakal tampil dengan sebuah persembahan istimewa, Konsert Ulang Tahun ke-12 Bob & Sentuhan Band pada 18 November ini di Panggung Asia, Gombak.

Menurut Bob atau nama sebenar Mohd Aizat Rahman turut menyifatkan konsert itu sebagai lambang kejerihan dan pengorbanan, terutama bagi seniman yang berkarya di jalanan yang berjuang tanpa lelah.

“Konsert in adalah bagi meraikan pemuzik Sentuhan yang bersama saya selama 12 tahun ini, terutama Shahrul Amri selain tanda terima kasih atas sokongan peminat yang memberi ruang kepada buskers, sekali gus membawa karya seniman jalanan pada tahap lebih tinggi.

“Ia adalah sebuah persembahan istimewa yang bakal berlangsung selama tiga jam tapa henti dengan pemilihan lagu, termasuk karya asal daripada album Sentuhan yang jarang didengar yang banyak berkisar tentang Malaysia, jiwa dan persembahan jalanan seperti Aku Cinta Kamu dan Bukit Bintang.

“Biarpun masih mengekalkan konsep busking, muzik secara keseluruhannya cenderung kepada lagu-lagu hard rock dengan sistem bunyi, sesuai bagi sebuah konsert.

“Juga menarik, sesi open jamming nanti yang dibuka kepada mereka yang pernah bersama Sentuhan untuk tampil dengan persembahan spontan,” katanya.

Konsert yang dianjurkan oleh RYZ Event itu turut menampilkan bakat Singapura, Ryzal Aziz, selain penyanyi cilik, Cinta Suci Indah Urmila Zaidi yang lebih dikenali sebagai Adik Cinta.

Bob yang mencipta nama walaupun tanpa pendidikan formal dalam muzik, hanya bersandarkan minat mendalam seawal usia 12 tahun.

“Sebelum busking, saya bermain muzik di kelab-kelab malam dan mengiringi ramai artis.

“Pada 2012, demi meneruskan hidup di Kuala Lumpur, saya memberanikan diri terjun ke dalam dunia busking.

“Ia bukan perjalanan mudah, menuntut pengorbanan bukan kecil kerana busking dipandang rendah, tidak hebat. Saya cabar diri, gigih berusaha untuk mematahkan stigma buskers tidak boleh pergi jauh.

“Penerimaan masyarakat hari ini buat saya terharu dan Konsert Ulang Tahun ke-12 Bob & Sentuhan Band ini jelas cukup bermakna,” ujarnya.

Tiket berharga RM108 (VIP), RM88 (Cat 1) dan RM68 (Cat 2) telah mula dijual di laman web www.ilassotickets.com, atau boleh hubungi hotline 011-13297822.

Maya Basir