Bila Anak Meragam Takut Ke Sekolah, Apa Perlu Kamu Buat?

Bila sebut sahaja nak ke sekolah, bukan semua kanak-kanak yang suka mendengarnya. Lebih-lebih lagi di hari pertama persekolahan! 

Amat beruntung sekali jika anak anda mudah menerima persekitaran baru. Tetapi, apa perlu anda lakukan jika situasi sebaliknya berlaku?

Sala seorang tenaga pengajar di Little Caliphs Bandar Tun Hussein Onn, Cikgu Fatin Muhammed berkongsi beberapa tips bagaimana mengendali si kecil supaya tidak lagi ‘meragam’. Jom semak;

1. Seronoknya Sekolah

Dari mula anda & anak melangkah masuk dalam kereta, ceritakan keseronokan yang mereka bakal lalui ketika di sekolah nanti. Beri bayangan menyeronokkan agar mereka lebih teruja. Elakkan menggunakan ayat ‘Jangan nakal-nakal ya nak, teacher garang nanti dia marah’.

2. Sediakan Bekalan Menarik

Tanya anak anda menu apa yang mahu mereka bawa ke sekolah esok. Letakkan hidangan ekstra di dalam bekas makanan agar mereka boleh menikmati bersama rakan-rakan lain. Ini akan membuatkan mereka lebih tidak sabar untuk masuk ke kelas keesokan harinya. Kalau boleh, elak bekalkan gula-gula atau coklat, sebaiknya bekalkan mereka makanan berkhasiat.

3. Puji Mereka

Siapa yang tidak suka pujian? Kanak-kanak akan berasa lebih yakin apabila mendapat pujian. Percayalah, pujian bakal membuatkan keyakinan diri mereka bertambah. Pasti terus semangat nak ke sekolah!

4. Tidur Awal

Pastikan anak anda masuk tidur seawal jam 9-10 malam. Tidur yang cukup penting agar mereka tidak ‘meragam’ keesokan hari. Kanak-kanak memang disarankan mendapatkan tidur 8 jam sehari.

5. Tinggal Mainan Di Rumah

Pujuk anak untuk tidak membawa sebarang mainan ke sekolah. Bukan apa, ramai kanak-kanak berada di dalam kelas yang sama. Sekiranya mainan itu hilang sebaik tamat sesi persekolahan, lebih pening kan? Seeloknya beritahu anak anda jika mereka berjaya ke sekolah hari ini, mainan sudah menunggu di rumah.

Selamat Mencuba! 

SGMS Faida