Categories: Oh Lawa

Berapa kerap perlu anda potong rambut? Ini jawapan pakar

Penjagaan rambut sebenarnya tidaklah terhad kepada penggunaan syampu dan perapi serta rawatan kulit kepala sahaja, sebaliknya kesihatan rambut seperti bahagian hujung yang tidak bercabang juga perlu diberi perhatian kerana ia menandakan rambut anda sihat atau tidak.

Bagaimanapun, ada juga pendapat mengatakan memotong rambut juga boleh menyihatkan rambut, sama seperti anda memangkas ranting pokok yang akan menjadikan pokok lebih sihat dan membesar dengan rimbun.

Berbalik kepada rambut, jika anda kerap memotong rambut, anda sebenarnya bertindak untuk menyelamatkannya daripada rosak, tetapi berapa kerap perlu anda potong rambut? Jika anda berhajat mahu menyimpan rambut panjang, adalah mustahil untuk anda memotongnya setiap bulan.

Untuk mendapatkan jawapan bagi persoalan yang timbul ini, jom tanya penggaya rambut selebriti Amerika, Angela C Styles. Beliau juga menjawap persoalan mengenai sama ada rambut kita akan tumbuh dengan lebih cepat jika kita kerap memotongnya.

Berapa kerap patut anda potong rambut?

Menurut Angela, kekerapan ini bergantung sepenuhnya kepada tekstur rambut anda. Mereka yang berambut lurus patut mendapatkan potongan trim lebih kerap daripada mereka yang berambut keriting atau beralun.

“Orang yang mempunyai rambut keriting patut memotong rambut setiap dua ke tiga bulan sekali,” jelas Angela.

“Untuk rambut lurus pula, potongan rambut bergantung kepada berapa cepat rambut itu tumbuh. Selalunya mereka patut memotong rambut mereka setiap enam ke 10 minggu sekali.”

Kekerapan potongan rambut anda juga bergantung kepada gaya yang anda ingin cuba. Jika anda ingin kekal dengan kepanjangan rambut yang ada sekarang atau ada jambul yang anda perlu urus, anda patut memangkasnya setiap tiga ke empat minggu sekali.

Walaupun anda ingin kekalkan kepanjangan rambut, anda masih perlu memangkasnya. Sumber: LiveAbout

Betulkah jika anda kerap memotong rambut, ia akan tumbuh lebih cepat?

Jika anda ingin rambut anda tumbuh secepat mungkin, lebih baik anda memakai tonik khas untuk pertumbuhan rambut. Selain itu, anda juga boleh dapatkan rawatan urut bagi kulit kepala.

Jangan sesekali berharap jika anda kerap potong rambut, ia akan tumbuh dengan lebih cepat daripada biasa. Namun begitu, anda masih disarankan untuk kerap memotong rambut kerana dengan langkah berkenaan, hujung rambut yang bercabang dapat dibuang.

“Rambut pada bahagian akar boleh tumbuh dengan sihat. Jika anda biarkan rambut anda bercabang, ia akan terus rosak dan bercabang lebih teruk.

Pendek cerita: Pemangkasan yang dilakukan secara berkala dapat membantu mengekalkan kepanjangan rambut, tetapi ia tidak membuatkan rambut anda tumbuh lebih cepat.

Berapa lama anda boleh tangguh sebelum anda perlu memotong rambut?

Kadangkala anda terlalu sibuk hingga rambut anda langsung tidak terurus. Mahu berkunjung ke salun pun tidak sempat.

Menurut Angela, jika anda masih sayangkan rambut anda, anda tidak patut tangguh lebih daripada enam bulan untuk memotong rambut.

Ingat ya!

Jika anda tetap ingin menyimpan rambut panjang, anda masih perlu pangkas dan buangkan hujung rambut yang rosak, pangkas sedikit sahaja, jadi jangan risau.

Ad Ops